30 Disember 2007

Sedia sistem sokongan untuk data dalam PC

Bayangkan maklumat serta data yang disimpan di dalam komputer peribadi (PC) anda hilang & lenyap apabila berlaku kerosakan / bencana pada cakera keras dalaman; pastinya ia adalah situasi paling menyedihkan kepada pemilik komputer. Bagi menangani masalah kehilangan maklumat penting yang disimpan di dalam PC, anda akan diberitahu langkah yang boleh dilakukan untuk menyimpan fail & maklumat penting iaitu menerusi kaedah sistem sokongan (backup).

Sistem sokongan fail adalah pendekatan mudah serta berkesan yang boleh dilaksanakan dengan hanya membuat salinan maklumat & data yang disimpan dalam cakera keras ke destinasi lain seperti cakera liut (floppy), cakera ZIP, pemacu USB flash & storan fail dalam talian. Bagaimanapun, pemilihan perkakasan untuk sistem sokongan itu bergantung kepada keperluan & persediaan dari segi masa untuk melakukan proses menyokong fail daripada cakera keras. Sekiranya penggunaan PC anda meliputi kegunaan untuk perniagaan yang beroperasi dari rumah, pengguna perlu memperuntukkan pelaburan lebih tinggi bagi pembelian sistem sokongan lebih stabil yang mampu melaksanakan aktiviti itu setiap hari. Untuk kegunaan biasa, aktiviti sokongan itu boleh dilakukan seminggu sekali yang kemudian disusuli dengan penyelenggaraan sistem sokongan lengkap bagi tempoh setiap 6 bulan. Sistem sokongan boleh dilakukan dengan membuat salinan fail / folder yang disimpan di dalam lokasi utama PC (kebiasaannya cakera keras) untuk dihantar ke perkakasan tambahan lain seperti cakera liut, cakera padat (CD), pemacu USB & cakera keras luaran. Selain itu, pengguna PC boleh melaksanakan proses sokongan fail menerusi utiliti sokongan Windows yang dilengkapi pada sistem operasi (OS) komputer. Bagi tujuan itu, pengguna boleh memulakan operasi sokongan dengan satu klik pada Start yang kemudian akan memaparkan All Programs. Pada All Programs, anda perlu melakukan beberapa langkah tertentu yang disusuli dengan carian folder aksesori, diikuti kelengkapan sistem (system tools) sebelum melakukan pemasangan aplikasi sokongan dalam program Backup.

Bagi pengguna baharu, anda disarankan untuk menggunakan kaedah Restore Wizard untuk memastikan proses pemasangan lengkap pada sistem komputer berjalan lancar. Apabila proses itu dilakukan dengan betul, anda hanya perlu mengikut arahan penetapan sistem sokongan seperti yang ditetapkan.

28 Disember 2007

Putek latih usahawan teknikal Bumiputera

Program Usahawan Teknologi (Putek) sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diwujudkan pada 1996, iaitu tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7). Pelancaran program itu sejajar hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan teknikal Bumiputera di seluruh negara. Menerusi program itu, usahawan baru yang berminat menceburi bidang perniagaan, khususnya berasaskan kemahiran, akan dibantu melalui pakej kemudahan, sokongan & bantuan galakan.

Bantuan diberikan sehinggalah mereka mampu berdikari & menguruskannya sendiri. Program itu disasarkan kepada lepasan pelatih institusi teknikal Mara seperti Institut Kemahiran Mara, Giat Mara, Infotech Mara, institusi teknikal awam & swasta serta siswazah dalam bidang teknikal. Antara perniagaan yang diberikan keutamaan ialah bidang berkaitan elektrik/elektronik, mekanikal, teknologi aluminium, jahitan pakaian, kek & pastri, kimpalan, komputer & teknologi maklumat serta motosikal. Setiap usahawan yang menyertai program itu akan diberikan bantuan secara pakej meliputi kemudahan latihan seperti kursus pembentukan usahawan, pengurusan perniagaan & asas teknikal mengikut bidang perniagaan. Selain itu kemudahan sewa peralatan & mesin serta pembiayaan perniagaan usahawan teknikal juga disediakan. Dalam pada itu, pegawai Mara sentiasa memberi khidmat rundingan & bimbingan projek menerusi Skim Pakar Runding usahawan Mara. Pemantau & susulan bagi menilai kemajuan serta perkembangan usahawan dibuat dari semasa ke semasa. Putek dijalankan dalam 4 fasa yang antaranya peserta perlu mengikuti kursus pembentukan usahawan bagi tempoh 15-20 hari secara berperingkat bagi fasa satu.

Ia terbuka kepada Bumiputera berumur antara 18 tahun hingga 50 tahun dengan memiliki sekurang-kurangnya sijil kemahiran asas dari IKM, Giat Mara atau lain-lain institusi teknikal yang berkaitan. Bagi bidang elektrikal, pemohon perlu mempunyai sijil yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga. Pemohon perlu mempunyai pengalaman kerja dalam bidang berkaitan sekurang-kurangnya setahun bagi yang mempunyai sijil kemahiran asas atau sekurang-kurangnya 2 tahun bagi yang tidak mempunyai sijil kemahiran tetapi mempunyai pengalaman kerja.

27 Disember 2007

Timba dulu pengalaman baru fikir pasal gaji

Remaja menganggur terutama mereka yang baru menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi, bukan cerita baru. Cuma mungkin jumlahnya semakin ramai berikutan pertambahan penduduk dan jumlah remaja yang menamatkan pengajian hingga ke peringkat universiti meningkat saban tahun. Sesetengah graduan remaja akan marah bila kegagalan mereka mendapat kerja dikatakan kerana terlalu memilih.

"Siapa cakap aku memilih," rungut seorang remaja yang berkelulusan dalam bidang teknologi maklumat. "Semua tempat aku pergi interview semua nakkan pengalaman. Nak kata tak ada, ada pasal aku dulu buat praktikal. Takkan itu pun tak cukup lagi. Dia orang nak pengalaman macam mana?" tambahnya lagi. Seorang remaja berkelulusan bidang perakaunan pula berkata: "Samalah macam aku, berapa banyak bank dah aku pergi interview semuanya gagal pasal mereka mahu pengalaman, entahla aku pun tak tahu." Jika diamati kata-kata mereka ini, memang sekali fikir kita pun akan bertanya kenapa susah sangat mereka hendak mendapatkan pekerjaan kerana mempunyai kelulusan dan sekurang-kurangnya ada juga dua tiga bulan pengalaman sewaktu menjalani praktikal. Tapi bagi majikan, mereka sudah tentu mahukan pengalaman lain yang boleh membantu pekerjanya memberikan lebih lagi, bukan sekadar kemahiran yang mereka peroleh di universiti.

"Ya lah kau orang nak harapkan terus kerja kat tempat besar, perlahan-lahanlah. Cuba kerja kat tempat biasa dulu, mana tahu lepas tu ada rezeki," kata pula seorang remaja yang kini mendapat pekerjaan setanding kelulusannya dan mendapat sedikit kelebihan dari segi pendapatan kerana pernah bekerja 2 tahun di sebuah kedai 24 jam. Pengalaman itulah yang dijaja remaja berkenaan setiap kali menghadiri temu duga sehingga meyakinkan majikannya bahawa beliau boleh melakukan pekerjaannya dengan baik. Walaupun bekerja di tempat sebegitu mungkin dianggap sesetengah remaja sebagai tidak berbaloi tetapi bagi remaja berkenaan ia memberikannya pengalaman cukup berharga yang bukan sekadar menangani perangai pelanggan tetapi juga pengurusan. 

Inilah yang dilihat sebagai kelebihan remaja tadi oleh majikannya. "Tak kuasa aku nak kerja kat tempat macam tu, dah lah kerja tak tentu masa, gaji pulak tak seberapa," jawab seorang remaja yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan awam. "Entahnya, macam aku ada kawan-kawan ajak kerja kar firma audit, tapi bila aku tanya gaji, dia cakap lebih kurang RM1,000. Buang masa aku aja, dahla kerja teruk gaji pulak tak seberapa," sampuk pula remaja yang berkelulusan dalam bidang perakaunan. Sebagaimana kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, falsafah inilah yang sebenarnya kadang-kadang sukar dimengerti dan diambil iktibar oleh sebahagian remaja.

Sememangnya, untuk berjaya bukan kerja mudah, ramai yang kadang-kadang tersungkur dulu sebelum dapat bangkit & terus melangkah jauh. Tidak kurang juga yang tersembam selepas tersungkur, namun jika sudah rezeki, mereka ini akan dapat bangkit. Apa pun bagi remaja, zaman inilah masanya untuk mereka mencari pengalaman. Wang tidak seharusnya menjadi pertimbangan yang cukup meruncing, apa yang penting adalah cukup untuk makan. Nak bermewah-mewah, tunggulah dulu kerana ada masanya kemudian. Walaupun bergaji RM10 sahaja sebulan, tetapi pengalaman untuk gaji sebanyak itu memang tidak ternilai harganya.

26 Disember 2007

Pisang sihatkan mata

Pisang berangan, rastali atau emas memang sedap dimakan begitu sahaja. Sementara pisang nangka, embun & kapas sedap digoreng atau dibuat kerepek. Namun pisang bukan sekadar sedap dimakan tetapi kandungan khasiatnya cukup istimewa. Apa yang menariknya, manfaat pisang bukan sahaja tersimpan dalam isinya yang pejal tetapi juga kulit! Berdasarkan penyelidik Universiti Taichung Chung San, Taiwan, selain kaya akan vitamin B6, ekstrak kulit pisang kaya dengan serotonin yang sangat penting untuk menyeimbangkan mood & menjaga kesihatan retina.

24 Disember 2007

Krisis identiti landa pemikiran, jiwa belia

Golongan belia sekarang menghadapi krisis identiti apabila pengaruh fesyen dan hiburan kini mula melanda mempengaruhi mereka di seluruh tanah air. Pelbagai identiti baharu mulai menjajah pemikiran golongan anak muda kita dewasa ini termasuk pemakaian anting-anting di kalangan lelaki. Krisis identiti ini mungkin antara penyebab berlakunya gejala sosial di kalangan anak muda sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Ia mula membawa masalah kepada masyarakat & dikhuatiri jika tiada usaha mengurangkan gejala itu dikhuatiri akan menjadi penyakit berjangkit yang sukar diatasi. Pemikiran belia yang rapuh menjadikan mereka mudah dipengaruhi budaya songsang ini. Pengaruh Barat dianggap moden menyebabkan mereka lebih cenderung mencuba. Mereka tidak mahu berfikir bahawa apa yang cuba dipraktikkan itu sebenarnya rancangan untuk memusnahkan kehidupan tradisi mereka yang mempunyai nilai hidup yang baik & berbudaya tinggi. Kegilaan remaja yang taksub kepada hiburan adalah kaedah terbaik untuk Barat memainkan agenda mereka untuk melemahkan iman anak muda kita menerusi pengenalan pelbagai ikon & corak hiburan. penggita hiburan kita, sama ada golongan muda atau dewasa begitu cepat terpengaruh dengan arus pemodenan yang kononnya paling terkini yang dibawa media Barat tanpa memikirkan implikasi terhadap bangsa & budaya sendiri.

Lihat saja penggiat seni lelaki negara kita kebelakangan ini, ketulenan kelakian mereka boleh dipertikaikan apabila mula bersubang. Subang atau anting-anting dalam budaya hidup masyarakat kita adalah aksesori dipakai kaum wanita. Apakah nilai moral ini juga mahu disamakan dengan 'mak nyah'? Yang lebih pelik kita tidak faham apakah rasional memakai subang. Persoalan yang sering saya tertanya-tanya adakah sah mereka mengambil air sembahyang dalam keadaan itu? Jadi mahukah masyarakat melihat lebih ramai anak muda & remaja memakai anting-anting di telinga sebagai budaya baharu dalam masyarakat kita pada masa depan?

21 Disember 2007

Perlu mohon IPTA dalam talian mulai 2008


Semua permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya akan dilaksanakan secara dalam talian (online) sepenuhnya mulai tahun depan. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan memberitahu, permohonan boleh dibuat di laman web KPT di http://www.mohe.gov.my/. Menurut kenyataan itu, langkah tersebut adalah untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kementerian serta melancarkan pengurusan permohonan kemasukan ke IPTA. Kenyataan itu menyebut, permohonan kemasukan itu akan dilakukan dalam 2 fasa iaitu pendaftaran permohonan untuk fasa pertama manakala fasa ke-2 adalah untuk mengesahkan permohonan.

Fasa pertama mula dibuka pada 12 November lalu sehingga 31 Disember ini. Pemohon perlu mengisi nombor kad pengenalan (IC) & kata laluan (password) selain maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan ibu bapa, kategori permohonan & maklumat kokurikulum. Fasa ke-2 pula akan dibuka bermula 4 Februari 2008 mulai pukul 12 tengah hari dengan menggunakan nombor unik pengenalan diri yang boleh dibeli pada harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara. Calon hanya dibenarkan mengemukakan sekali permohonan & 3 kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi SPM 2007 diumumkan.

19 Disember 2007

Petua menjimatkan petrol


  • Jangan memandu laju, memecut & membrek serta-merta.
  • Gunakan gear tinggi mengikut kelajuan untuk menjimatkan petrol.
  • Servis & laraskan enjin anda - enjin yang bersih meningkatkan keberkesanan penggunaan petrol.
  • Pastikan tayar cukup angin, seperti disyorkan dalam buku manual kereta anda.
  • Elak daripada membawa muatan yang berlebihan & barangan yang berat di dalam but atau tempat duduk belakang kereta anda.

18 Disember 2007

Sekularisme ancam umat Islam Malaysia


Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pernah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar tidak lama dahulu bahawa sekularisme menular dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia sehingga orang Islam tidak menghiraukan soal halal & haram. Kita harus mengambil iktibar & mengikuti nasihat berguna daripada mufti.

Contohnya, berdasarkan kajian yang paling ramai mengambil nombor ekor adalah Melayu. Begitu juga dengan minum arak yang turut diteguk umat Islam. Perbelanjaan arak hampir RM1 bilion dan semakin menular terhadap orang Islam. Jika kita perhatikan, Islam di Malaysia menghadapi ancaman yang cukup berat. Ancaman utama yang dihadapi ialah pemindahan budaya dari Barat, sekularisme, budaya hedonisme, Islam liberal, pluralisme serta ancaman dari golongan yang membangkitkan soal khilafiah.

Sekularisme bagi umum adalah konsep untuk memisahkan manusia dengan agama. Ia menular dengan hebat & menjadi ritual. Namun, hakikatnya Islam tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan & segala kegiatan hidup sebenarnya berkaitan dengan agama, yang dikatakan Islam sebagai ad-din. Liberalisme adalah fahaman yang diciptakan Yahudi sejak 2,000 tahun dulu. Ia berkembang & Barat yang terpengaruh dengan liberalisme ini maka agama ditinggalkan. Antara jalan paling senang ialah mendekati & meracuni fikiran bijak pandai Islam dengan cara logik mereka. Sehingga kita lihat hari ini ada suara dari golongan ini cukup kuat dan ada yang menafikan azab kubur.

Pluralisme dengan fahaman agama tujuannya baik tapi jalannya berlainan. Fahaman ini makin kuat diterapkan pada orang Islam. Kerana itu ada yang menjadikan perayaan agama sebagai acara nasional. Sedangkan perkara ini jelas dalam al-Quran, Allah mengatakan agama itu Islam. Dan siapa yang mencari selain dari Islam akan kecewa di akhirat nanti. Hari ini usaha sebegini menular pada golongan bijak pandai & cendekiawan Melayu. Buktinya, mereka berusaha menubuhkan IRC & sekarang ini IFC sehingga diperluaskan melalui 'road show'.

Selain itu, kita di Malaysia suka berbicara perkara remeh-temeh, kita suka mencari masalah lain sebelum masalah terdahulu diselesaikan. Berdasarkan statistik hingga awal Januari lalu, 75,000 yang majoritinya Melayu menghidap AIDS. Kita masih bertengkar & sibuk dengan soal perkahwinan seperti yang timbul iaitu kahwin misyar. Jadi masa kita banyak dihabiskan untuk perbahasan masalah seperti itu.
Enhanced by Zemanta

17 Disember 2007

Belia boleh mohon bantuan kewangan TEB

Belia yang berminat menceburi bidang perniagaan tetapi kekurangan modal, boleh memohon bantuan kewangan dalam bentuk geran & pinjaman daripada Tabung Ekonomi Belia (TEB) kelolaan Majlis Pembangunan Ekonomi Belia (MPEB), mulai tahun ini. TEB yang baru ditubuhkan itu memperuntukkan RM45 juta atau pinjaman maksimum RM50,000 setiap satu kepada mana-mana belia berusia antara 18-40 tahun yang berhasrat memula & mengembangkan perniagaan. RM20 juta daripada tabung itu diperuntukkan bagi pinjaman usahawan tani, RM20 juta pinjaman perniagaan lain, manakala bakinya RM5 juta dalam bentuk geran modal iaitu RM5,000 atau RM2,000 seorang.

Untuk tujuan itu, MPEB bekerjasama dengan Bank Pertanian & Bank Rakyat untuk memudahkan belia minat berniaga tetapi tidak mempunyai modal menceburi bidang keusahawanan. Ia dapat memberi bantuan kepada belia dan menolak tanggapan bahawa makan gaji untuk hidup senang sebagai persepsi tidak betul. Kita berharap ia menggalakkan golongan belia menceburi bidang perniagaan. MPEB ialah badan gabungan pelbagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Belia & Sukan, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah, dan Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi.

Pemohon TEB disyaratkan menjadi ahli mana-mana persatuan belia bagi melayakkan mereka menerima bantuan. STEB yang dilancarkan tahun lalu menyediakan dana RM40 juta menerusi program pembangunan ekonomi belia dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9). KBS mensasarkan melatih 200,000 belia setahun dalam bidang keusahawanan dengan matlamat melahirkan 5,000 usahawan belia baharu. STEB dilancarkan semula tahun lalu selepas dibekukan 3 tahun sebelumnya kerana pelbagai masalah. Bagaimanapun dengan imej baharu ini memberi peluang kepada belia yang ingin menjadi usahawan & mempunyai saluran mudah mendapatkan pinjaman. MPEB yang dianggotai Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi, Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Kementerian Pengajian Tinggi, institusi kewangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) & dan dewan perniagaan yang mengawasi STEB.

12 Disember 2007

MIT tawar kursus online

Massachussets Institute of Technology (MIT) menjadi universiti pertama di Amerika Syarikat yang menawarkan hampir 1,800 kursusnya melalui Internet secara percuma akhir tahun ini. Projek ini dimulakan kerana MIT percaya bahawa cara terbaik untuk melanjutkan pengajian di seluruh dunia ialah melalui Internet. Pelajar online bagaimanapun, tidak mendapat ijazah MIT atau mempunyai hubungan fakulti di universiti yang terletak di Cambridge, Massachussets. MIT melancarkan program ‘OpenCourseWare’ pada 2003 & sudah menawarkan beberapa ratus kursus secara online. Beberapa institusi pengajian tinggi Amerika Syarikat yang lain juga mengambil langkah sama. Stanford misalnya memulakan beberapa kelas secara online tahun lalu, manakala Bryn Mawr bercadang untuk melakukannya tidak lama lagi.

10 Disember 2007

Sejarah mushaf al-Quran

Pada zaman Rasulullah saw, ayat al-Quran dicatatkan atas tulang, batu & pelepah tamar, selain ramai penghafaz.
  • Pengumpulan ayat suci al-Quran dicadangkan Saidina Umar Al-Khattab pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar selepas tahun 12 Hijrah.
  • Ia berikutan kebimbangan penghafaz al-Quran mati syahid dalam perang menentang golongan murtad, khususnya Musailamah Al-Khazzab.
  • Usaha pengumpulan ayat suci al-Quran dilakukan Zaid bin Thabit.
  • Ayat terakhir yang dimasukkan dalam usaha pengumpulan al-Quran adalah Surah At-Taubah.
  • Mushaf al-Quran mula dibukukan pada zaman Saidina Uthman Al-Affan menggunakan bahasa Quraisy dan dilakukan Zaid bin Thabit & beberapa orang lain, pada 25 Hijrah.
  • Mushaf al-Quran dijadikan tipu helah Muawiyah dalam peperangan dengan Saidina Ali bin Abi Talib dikenali sebagai perang As-Siffin pada 37 Hijrah.

06 Disember 2007

Bekerja sambil mengejar impian

"Apa kamu buat di sini, tak ada kuliah ke?" tegur seorang lelaki berjambang yang lebih banyak putih dari hitam, kepada seorang pelayan di sebuah restoran makanan segera. Pertanyaannya itu menyebabkan keluarganya yang berada di sebelahnya mula bertanya-tanya siapakah remaja berkenaan. "Hari ini kuliah saya banyak pada sebelah pagi, pukul 12 tengah hari dah habis, Prof punya kelas pun hari ini tak ada, jadi petang saya di sini, cari duit sikit," jawab pelayan berkenaan sambil menghulurkan sebungkus burger yang sewaktu dipesan oleh lelaki berkenaan di kaunter, masih belum siap.

"Tak ganggu pelajaran ke, awak sekarang final year?" soal pula lelaki berkenaan yang pada pandangan Yoi mungkin seorang pensyarah di sebuah universiti. "Tak lah, hari biasa saya kerja 2 hari saja, cuma hujung minggu saya kerja lebih sikit. Terpaksalah Prof, kalau tidak mana nak cukup. Ibu bapa saya bukannya orang senang. Bapa saya hanya penanam sayur. Sekurang-kurangnya bila kerja saya tak perlu belanja untuk makan tengah hari & malam," jelas remaja berkulit putih cerah & mata agak kecil itu.

"Awak tak dapat pinjaman ke?" balas pula lelaki itu ingin mengetahui lebih lanjut. "Dapat, tapi saya tak mahu. Kalau pinjam kena bayar, lebih baik saya kerja macam ini dan bapa bantu sikit-sikit. Lagipun saya dah biasa. Dulu masa sekolah saya bantu bapa di kebun," jawab remaja berkenaan sambil meminta izin untuk pergi bagi meneruskan kerjanya. Yoi yang duduk di meja sebelah, mengangguk setuju dengan pendapat pelayan berkenaan, yang Yoi pasti adalah seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi. Sememangnya, kalau sudah namanya pinjaman mesti perlu dibayar.


Tetapi apa yang Yoi lebih terkesan dengan sikapnya ialah beliau lebih rela berdikari mencari wang menampung perbelanjaan pengajiannnya daripada mengharapkan pinjaman. Seperti kata pepatah Melayu, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, ia nampaknya menjadi pegangan remaja berkenaan yang mungkin hanya mendengar pepatah itu sewaktu di sekolah. Sikapnya mungkin agak berbeza dengan sesetengah remaja, yang nampak mewah sewaktu masih di IPT lagi, dengan motosikal & telefon bimbit, sedangkan semuanya itu diperoleh melalui wang pinjaman pendidikan yang seharusnya digunakan untuk keperluan yang lebih mendesak seperti buku.

Ketika sebahagian rakan-rakan tidak ada kuliah sibuk ke sana-sini, malah mungkin ada yang sedang melayan perasaan dengan kekasih hati atau juga berchatting di saluran televisyen, remaja ini terpaksa mengumpul tenaga bagi mencari pendapatan untuk menampung pengajian. Baginya itu mungkin yang terbaik untuk dirinya dan juga untuk meringankan beban keluarganya dalam menampung pengajiannya. bagi remaja sebegini, yang terpaksa bekerja ketika masih menuntut jika memperoleh keputusan yang baik ia adalah bonus, tetapi jika pencapaiannya sederhana bukanlah satu kegagalan kerana beliau sekurang-kurangnya sudah mendapat satu pengalaman kerja yang cukup berharga.

Pada pandangan Yoi, dengan sijil yang diperolehinya ia mungkin dapat menjadi batu loncatan untuk pergi jauh dalam syarikat makanan segera itu, juga apa yang lebih penting tidak perlu menanggung beban pinjaman selepas tamat pengajian. Ya, faktor kemiskinan menyebabkan ada yang terpaksa mengambil sikap seperti remaja ini. Namun inilah pengorbanan dan seperti mana cerita mereka yang berjaya, ia bermula dari kesusahan.

27 November 2007

Membuang spyware dalam PC

Kali ini kita akan berkongsi pengetahuan mengenai langkah perlindungan yang perlu diambil ketika berada dalam talian menerusi kaedah pembuangan spyware. Sebelum ancaman berasaskan spyware dapat dibuang, terlebih dahulu, pengguna komputer peribadi perlu memahami latar belakang kewujudan ancaman itu & keupayaannya dalam melemahkan prestasi penyampaian sistem komputer untuk jangka panjang.

Spyware adalah kod berniat jahat yang menjangkiti sistem PC pemilik dengan kemampuannya mengambil alih proses yang dilaksanakan dalam sistem. Ia akan membenarkan penggunaan papan kelengkapan pelayar yang tidak dibenarkan pada paparan skrin PC, menghasilkan tetingkap pop-up ketika berada dalam talian & membuat pertukaran laman web pemilik tanpa pengetahuan. Lebih membahayakan apabila spyware dapat mengenalpasti pergerakan dalam laman web sehingga boleh memberikan kesan terhadap prestasi PC itu sendiri. Selain itu, spyware juga mampu mengesan & memerhatikan pergerakan fail dalam sistem pemilik ketika berada dalam talian, di samping berupaya memahami aktiviti anda ketika melayari Internet. Pengesanan aktiviti dalam talian itu akan digunakan bagi membentuk profil pemasaran apabila ia dijual kepada syarikat pengiklanan Internet sehingga boleh mencemar privasi pemilik PC.

Pengguna Internet boleh mempelajari kaedah membuang spyware dalam PC & seterusnya melindungi komputer anda daripada ancaman luar yang wujud secara berterusan. Pengguna juga boleh memuat turun program Ad-Aware SE dan Spybot - Search and Destroy secara percuma menerusi dalam talian. Kedua-dua program tambah nilai itu adalah komponen perlindungan pakej keselamatan yang ditawarkan kepada pengguna bagi memerangi masalah spyware yang semakin berleluasa ketika ini. Program Ad-Aware dan Spybot boleh diperoleh menerusi laman web masing-masing di Internet dan seterusnya disimpan di lokasi yang ditetapkan dalam PC. Apabila proses memuat turun program itu selesai, pemilik PC boleh memulakan proses pemasangan program terbabit dalam komputer menerusi langkah pemasangan mudah komponen perlindungan spyware terbabit.

Apabila berjaya dimuat turun, pemilik PC boleh menggunakan kedua-dua program terbabit untuk mengesan spyware. Sebagai usaha memastikan pengguna dilindungi daripada ancaman spyware, proses mengemas kini (update) kedua-dua program itu perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi mengelakkan kelemahan program itu mengesan ancaman terbaru. Proses imbasan menggunakan program tersebut perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya 2 kali sebulan bagi memastikan kewujudan spyware itu dapat dimusnahkan dengan lebih berkesan.

26 November 2007

Waspada impak negatif matahari

Sinaran matahari sememangnya bermanfaat untuk tubuh badan terutama kulit. Tetapi awas, sinar matahari yang melebihi jam 10 pagi boleh mendatangkan bahaya kepada kita! Ketahui impak negatif sinaran matahari kepada kulit:
  • Pendedahan kulit yang keterlaluan pada cahaya matahari akan menyebabkan ia terbakar atau disebut sebagai erythema.
  • Alergi atau photodermatosis biasa terjadi pada kulit yang sensitif pada matahari.
  • Penyebab utama penuaan kulit disebabkan kurangnya penghasilan melanin.
  • Menjadikan kulit kusam dan berkerut.
  • Kesan paling teruk menyebabkan kanser kulit.


Enhanced by Zemanta

23 November 2007

Lelaki bersuara garau ramai anak


Kata orang tua-tua, lelaki jika ingin memilih isteri biarlah yang sedap mata memandang. Manakala tip untuk kaum wanita yang ingin mencari suami, jika boleh pilihlah yang bersuara garau. Kenyataan ini berdasarkan pemerhatian penyelidik Kanada dan Amerika Syarikat yang diterbitkan dalam jurnal Biology Letters. Sebenarnya, tiada apa-apa kaitan saintifik di sebalik garau atau tidak suara seseorang lelaki. Namun, wanita didapati lebih tertarik kepada lelaki yang bersuara garau. Sama seperti mana mereka tertarik kepada lelaki yang bertubuh tinggi atau berwajah tampan. Bagaimanapun berdasarkan kajian, ciri fizikal yang baik dan simetri membayangkan gen yang bakal diwarisi untuk keturunan seterusnya adalah cemerlang dan sempurna.

20 November 2007

Serangan virus format PDF


Kebelakangan ini pakar antivirus telah mendedahkan wujudnya virus yang menggunakan format Portable Digital Format (PDF) untuk menyerang komputer peribadi (PC) menggunakan lampiran berbentuk "report.pdf". Apabila lampiran ini dibuka, fail PDF yang menggunakan kelemahan yang ada pada CVE-2007-5020 menjangkiti komputer peribadi menerusi Acrobat Reader dan Internet Explorer 7. Sasaran virus ini ialah menggunakan komputer yang dijangkiti untuk aktiviti penyebaran virus. Kes ini yang dikesan amat membimbangkan kerana lampiran yang menggunakan format PDF ini tidak ditapis ketika ia memasuki sistem rangkaian komputer.

07 November 2007

Swiss Mutual Fund

Rakyat Malaysia dinasihati tidak melabur dalam dana pelaburan dikenali sebagai Swiss Cash atau Swiss Mutual Fund (1948), yang ditawarkan melalui Internet dan ejen tempatan. Kedutaan Switzerland telah mengeluarkan satu kenyataan di Kuala Lumpur yang mana dana pelaburan tersebut tiada kaitan langsung dengan negara itu. Syarikat itu beroperasi di luar Switzerland dan tidak tertakluk kepada undang-undang perbankan Switzerland yang sangat ketat.

19 Ogos 2007

Microsoft Tech.Ed di Kuala Lumpur


Persidangan tahunan terbesar anjuran Microsoft, Tech.Ed Southeast Asia 2007 kembali ke Kuala Lumpur, September ini untuk menjadi platform pembelajaran dan latihan kepada lebih 2000 peserta terdiri dari usahawan tekno, pentadbir IT, pembangun perisian dan arkitek perisian dari seluruh rantau ini. Edisi kali ini dengan tema “Turn doing your job into making your mark” mensasarkan untuk menajamkan tumpuan kepada teras dan kemahiran pemprograman IT kritikal yang membolehkan pembangun mendapat latihan teknikal, maklumat serta sumber-sumber yang dapat membantu mereka dalam usaha membina, mengguna, mendapatkan, bersedia dan merumuskan pengurusan.


Tech.Ed terus diiktiraf oleh rakan perniagaan sebagai persidangan utama dalam industri yang bukan sekadar memperkenalkan perisian serta teknologi Microsoft, malah bakal mencipta gelombang baru dalam agenda teknologi. Tech.Ed kembali ke
Malaysia disebabkan pertumbuhan ekonomi berasaskan perisian yang amat memberangsangkan di sini. Rangkaian rakan niaga Microsoft Malaysia adalah yang terbesar dalam industri, dengan lebih 5000 rakan niaga dan 800 vendor pembangun perisian bebas (ISV) yang sudah pun menghasilkan produk bagi memenuhi keperluan IT serta perniagaan kepada beribu-ribu organisasi di Malaysia dan di rantau ini. Tech.Ed SEA 2007 kali ini lebih banyak menumpukan kepada teknologi dan penggunaan Windows Server 2008 yang sebelum ini dikenali dengan nama kod “Longhorn”.

Peserta tahun ini lebih beruntung kerana berpeluang mendengar sendiri pengalaman penceramah yang didatangkan terus dari Microsoft Corp iaitu individu serta pakar teknologi yang berkait rapat dengan pembangunan teknologi terkini. Tech.Ed SEA 2007 akan berlangsung pada 10 hingga 13 September 2007 di P
usat Konvensyen Kuala Lumpur. Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh diperoleh di http://www.microsoft.com/malaysia/techedsea2007.

19 Julai 2007

Pembinaan kapasiti kemahiran resepi kejayaan individu

Penguasaan ilmu lazimnya bergerak seiring pembangunan ekonomi. Peningkatan ekonomi pula hanya akan bermakna apabila ia meningkatkan mutu kehidupan individu, masyarakat & negara. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, mutu & taraf hidup rakyat negara ini sudah meningkat. Pelbagai kemajuan dicapai dalam semua aspek seperti peningkatan pendapatan per kapita, pelajaran, kemahiran teknikal, kesihatan, purata jangka hayat umur, pemilikan aset serta keagamaan, budaya, sukan, rekreasi & sosial.

Isu penting yang perlu difikirkan ialah bagaimanakah peningkatan positif boleh diteruskan sementara yang negatif dibendung. Antara asas penting ialah usaha memperkaya & mempertajamkan minda setiap individu dengan ilmu yang bermanfaat disamping mampu membentuk perwatakan cemerlang. Kekuatan ilmu, kemahiran teknikal & perwatakan positif seperti berani, rajin & amanah adalah asas kepada kejayaan bangsa yang berjaya di dunia ini.

Negara Jepun yang tidak memiliki kekayaan sumber alam semula jadi begitu berjaya kerana kekuatan minda & kemahiran teknikal dan kekuatan perwatakan. Justeru, setiap rakyat Malaysia perlu berusaha supaya kapasiti minda & kemahiran teknikal dipertingkatkan supaya kita juga dapat menawarkan produk & perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat dunia & melaluinya kita boleh menikmati kemakmuran. Sistem & prasarana untuk pembangunan ilmu & kemahiran teknikal di negara kita sudah cukup baik.


Apa yang diperlukan ialah kesedaran, kesungguhan & sedia berkorban masa, tenaga & wang ringgit untuk mewujudkan tambah nilai kepada modal insan sedia ada. Umumnya usaha pelaburan modal insan ini tidak memberi pulangan segera tetapi ia menjanjikan pulangan lumayan pada jangka panjang. Rakyat negara ini sungguh bernasib baik kerana kerajaan melalui rancangan pembangunan 5 tahun yang silih berganti sejak merdeka sentiasa mementingkan pembangunan sumber manusia dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat tertinggi.

Namun, pembinaan perwatakan cemerlang rakyat Malaysia perlu dimulakan oleh ibu bapa semasa anak-anak masih kecil di rumah lagi melalui didikan & penerapan nilai mulia, diikuti dengan penghayatan & pembudayaan watak itu di sekolah, seterusnya pengukuhan amalan kerja mulia di tempat kerja. Gabungan antara keupayaan minda & kemahiran teknikal yang tinggi dengan perwatakan cemerlang sudah tentu adalah resipi kejayaan untuk individu mahupun untuk negara.

Perwatakan rajin, gigih & sedia untuk belajar yang dipamerkan kumpulan pendatang & pekerja asing di negara ini telah membolehkan mereka memperoleh pendapatan memuaskan. Rumusannya, pembinaan kapasiti kebolehan & kemahiran individu yang diasaskan pada perwatakan cemerlang adalah resipi untuk seseorang itu maju & berjaya.

22 Jun 2007

Bagaimana menyediakan resume yang berkesan?

Resume yang juga dikenali sebagai 'curriculum vitae' (cv) merupakan penggambaran mengenai kemahiran, pengalaman, pengetahuan, pendidikan serta pencapaian yang melayakkan anda untuk sesuatu pekerjaan. Sesuatu resume yang baik selain dari memberi maklumat peribadi juga memujuk sesesorang majikan bahawa anda mempunyai kemahiran, sikap, kelayakan atau sifat-sifat yang istimewa bagi mendapat temu duga peribadi. Perlu diingatkan resume merupakan suatu alat pemasaran yang boleh membantu anda mendapat peluang temu duga.

Sesuatu resume yang berkesan perlu singkat, tidak lebih daripada tiga halaman. Oleh kerana resume ialah alat utama dalam mencari kerja yang lebih baik, ianya perlu disediakan dengan teliti. Semua resume harus tepat dan jujur dan hendaklah memberi fokus kepada kehendak sesuatu kerja dan menyampaikan maklumat yang relevan bagi kerja yang dipohon. Ini membolehkan majikan untuk menilai secara objektif kesesuaian anda bagi kerja yang diiklankan.


Sesuatu resume yang efektif perlu mengandungi maklumat peribadi (seperti nama, tarikh dan tempat lahir, taraf perkahwinan, kerakyatan, alamat, no. telefon, e-mail, dll) dalam bahagian pertama. Bahagian kedua perlu memberi maklumat tentang kelayakan akademik (mulai dengan sekolah menengah, kolej, universiti, dll). Di sini maklumat terperinci mengenai diploma dan ijazah serta kursus yang diikuti sepanjang tempoh pendidikan dan gred serta anugerah yang diperolehi serta penyertaan dalam aktiviti luar kurikulum perlu diterangkan. Ini harus diikuti dengan pengalaman kerja dalam bahagian ketiga. Di sini anda perlu mula dengan maklumat mengenai kerja terkini dan diakhiri dengan kerja lama. Senaraikan semua kerja yang dibuat dengan memberi semua maklumat tentang tugas serta tanggungjawab dan tempoh setiap jawatan yang dipegang. Keterangan mengenai latihan dalam perkhidmatan dan kursus yang diikuti juga perlu diberikan. Kemahiran yang diperolehi dalam sesuatu bidang kerja adalah juga amat penting.

Dalam bahagian terakhir, maklumat tentang rujukan (reference) perlu diberi bagi memudahkan majikan mendapat sokongan serta penilaian daripada bekas majikan / pihak institusi anda. Dicadangkan supaya anda memberi maklumat tentang dua orang bekas majikan dan dua orang daripada institusi pengajian tinggi anda. Tentukan nama, jawatan, alamat penuh, no. telefon dan alamat e-mail mereka diberikan.

09 Jun 2007

Lahirnya Ubuntu Muslim Edition

UbuntuME adalah singkatan dari Ubuntu Muslim Edition. Ubuntu Muslim Edition adalah software bebas (free), satu sistem operasi sumber terbuka (open source OS) yang berasaskan distribusi (distro) popular Ubuntu Linux.

Apakah keistimewaan Ubuntu Muslim Edition ini? Ia adalah satu-satu sistem operasi di dunia yang mengintegrasikan perisian Islam seperti waktu solat, Al-Quran, penapisan kandungan internet dan lain-lain. Edisi istimewa Ubuntu ini begitu unik dengan pembaikan antaramuka pengguna grafik (GUI - graphical user interface), skrin permulaan yang kemas, log masuk GDM (Gnome Display Manager), kertas dinding (wallpaper) berunsurkan Islam dan senarai 'bookmark'Firefox untuk komuniti Muslim.

Apa itu Ubuntu?

luogoUbuntu adalah distribusi Linux yang popular saat ini, direkabentuk dengan tujuan untuk menggantikan Microsoft Windows sebagai sistem operasi yang paling banyak digunakan di dunia.

Ubuntu dibangunkan dari komponen yang keseluruhannya bersifat "open source", dengan modifikasi utama untuk kemudahan penggunaan dan menghijrahkan pengguna komputer yang telah terbiasa menggunakan Microsoft Windows, sebagaimana boleh dilihat disini. Nama Ubuntu berasal dari Bahasa Zulu yang berarti kemanusiaan, yang telah meresap kedalam budaya masyarakat Afrika Selatan sebagai “penghargaan bagi setiap individu”.

Apa itu Ubuntu Muslim Edition?

Ubuntu Muslim Edition adalah kumpulan program yang memberi ciri Islamik bagi distribusi Ubuntu dengan menambahkan perisian Islami (jadual solat, program pembelajaran Alquran, penapisan kandungan internet, dll.) disamping mengubah penampilannya agar lebih tampak Islamik.

02 Jun 2007

Belajar Bahasa Jawa (1)

Mengenal Angka (Nombor)

Jawa - Melayu


Siji - Satu
Loro - Dua
Telu - Tiga
Papat - Empat
Limo - Lima
Nem - Enam
Pitu - Tujuh
Wolu - Lapan
Songo - Sembilan
Sepuluh - Sepuluh
Sewelas - Sebelas
Rolas - Dua belas
Telulas - Tiga belas
Rongpuluh - Dua puluh
Limangpuluh - Lima puluh
Satus - Seratus
Sewu - Seribu

27 Mei 2007

Sistem Operasi Windows 98, ME Dihentikan


Microsoft Corp. (Microsoft) telah mengumumkan bahawa ia telah menghentikan khidmat sokongan terhadap sistem operasinya (OS) Windows 98 & Windows Millennium Edition (ME) berkuat kuasa tahun lepas yang mana lebih 50 juta masih menggunakannya. Penganalisis menganggarkan masih terdapat antara 50 juta & 70 juta komputer beroperasi pada Windows 95, 98 atau ME. Syarikat perisian utama dunia itu tidak akan menyediakan peningkatan tahap sekuriti, nasihat melalui telefon atau sokongan teknikal lain untuk Windows 98, Windows 98 Second Edition (SE) & Windows ME. Menurut kenyataan syarikat yang berpangkalan di Redmond, Washington itu, ia adalah pengumuman & peringatan kepada pengguna yang menangguh atau melambatkan pemindahan daripada Windows 98 atau Windows ME ke Windows XP. Namun begitu, sokongan maklumat untuk OS lama itu terutama Windows 98 yang diperkenalkan 9 tahun lalu masih kekal diletakkan pada laman web Microsoft. Microsoft pada awalnya merancang untuk menarik OS berkenaan pada Januari 2004 tetapi menundanya disebabkan meningkatnya persaingan daripada OS Linux ketika itu. Pengguna yang paling teruk menerima kesan akibat pemberhentian sokongan itu ialah pengguna di rumah & sekolah kerana mereka tidak akan mendapat khidmat sekuriti lagi.

23 Mei 2007

Alamat IP (IP Address)


Dalam jaringan komputer, alamat IP (internet protocol address) adalah suatu nombor unik yg digunakan oleh peralatan sebagai pengenalan dan untuk berkomunikasi antara satu sama lain di dalam satu jaringan yang menggunakan standard Protokol Internet (IP). Selalunya hanya kependekan "IP" digunakan, seperti "IP saya adalah xxx.xxx.xxx.xxx". Kesemua peranti berkaitan — termasuk penghala (router), komputer, time-servers, pencetak, mesin faks internet, dan sesetengah telefon — perlu mempunya IP global unik yang berkebolehan untuk berkomunikasi.

IP adalah satu protokol lapisan rangkaian di dalam suit protokol internet dan adalah protokol lapisan atasan yang menyediakan alamat global yg unik (cth: alamat
MAC untuk Ethernet) tetapi kedua-dua alamat ini tidak semestinya dapat berkomunikasi antara satu sama lain. IP menambah satu servis di atas protokol lapisan pautan data melalui penggunaan alamat IP yang menyediakan engenalan secara unik dan berkomunikasi dengan peranti lain di dalam rangkaian.
Dengan kata lain, alamat IP adalah seperti alamat penuh untuk mel pos semetara alamat MAC sekadar nombor rumah. Contohnya terdapat banyak alamat dengan nombor rumah 123 tetapi hanya ada satu alamat untuk 123, Jln Utama, Cyberjaya, Malaysia. Hanya sekadar pos kepada "123" tidak akan sampai ke mana-mana tetapi "123, Jln Utama, Cyberjaya, Malaysia" adalah alamat global yang unik.

Sifat unik alamat IP membolehkan banyak situasi untuk menjejaki komputer dan berkemungkinan pengguna menghantar mesej atau berkecimpung dalam suatu aktiviti di Internet. Informasi ini digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengenali penjenayah yang disyaki; walaubagaimanapun penggunaan alamat IP dinamik menyukarkan proses ini. Pengguna Internet di Malaysia biasanya menggunakan IP dinamik, kerana IP statik berkos tinggi. Oleh kerana alamat IP tidak mudah diingati,
Sistem Nama Domain (DNS - Domain Name System) menyediakan keupayaan untuk mengaliaskan nama domain (cth: ms.wikipedia.org kepada alamat IP 207.142.131.248).

Piawaian
IPv4 boleh dikelaskan kepada lima iaitu : A, B, C, D dan E. Hanya kelas A, B dan C sahaja yang biasanya digunakan. Walaubagaimanapun telah muncul kaedah untuk menulis IP dengan tidak terikat dengan kelas dipanggil CIDR (Class-less Inter Domain Routing). Di samping itu piawaian IPv6 juga sedang giat dijalankan dengan negara Asia seperti Jepun, China dan Korea Selatan menjadi pendahulu di rantau Asia.

15 Mei 2007

Sains Komputer


Sains komputer (computer science) secara umumnya adalah pengkajian perhitungan (computation) dan pemprosesan maklumat, sama ada dari segi perkakasan (hardware) mahupun perisian (software). Seorang yang pakar dalam bidang perkomputeran dipanggil saintis komputer. Hal ini adalah kerana sains komputer merupakan salah satu cabang daripada aliran sains.

Skop sains komputer masih tidak dapat dipisahkan dengan jelas memandangkan bidang ini meliputi aspek yang amat luas dalam kehidupan manusia dan skopnya akan terus berkembang selari dengan perkembangan kemajuan teknologi. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu telefon bimbit lebih dikaitkan dengan bidang kejuruteraan (engineering) , akan tetapi apabila teknologi telefon bimbit semakin berkembang, terdapat banyak teknologi daripada aliran sains komputer diserapkan ke dalam alatan ini. Kemajuan robotik semakin banyak menyerapkan elemen-elemen sains komputer seperti kepintaran buatan (AI - Atificial Intelligence) untuk menjadikan sesebuah robot lebih bijak.

Bidang ini mendapat tawaran meluas di dalam universiti dalam dan luar negara memandangkan ia merupakan bidang yang menarik perhatian serta mendapat tempat yang meluas dalam industri. Antara perkara penting dalam sains komputer adalah bahasa pengaturcaraan (programming language). Bahasa pengaturcaraan adalah bahasa yang boleh digunakan untuk menulis perisian komputer (computer software). Antara bahasa pengaturcaraan yang popular ialah C dan Java.

13 Mei 2007

Kerjaya Dalam Bidang Teknologi Maklumat (IT)


IT merupakan bidang yang luas dan meliputi semua bentuk teknologi yang digunakan untuk mencipta, memproses, menyimpan, dan menggunakan maklumat dalam pelbagai bentuk (seperti data perniagaan, mesej suara, imej pegun, filem, persembahan multimedia). Tambahan pula, IT juga satu bidang yang berkembang pesat. Ia mengubah dunia secara radikal dengan memperkenalkan pelbagai cara baru menjalankan perniagaan, membuat kerja, mengurus hiburan dan mencipta seni. Pendek kata, ia meliputi perkara berkaitan dengan sains komputer dan teknologi yang berkait rapat dengan perkakasan dan perisian komputer, reka bentuk, pemasangan serta pelaksanaan sistem maklumat dan penggunaan aplikasi.

Mata pelajaran yang termasuk dalam bidang ini ialah penciptaan perisian, pengaturcaraan (programming), sistem maklumat perniagaan dan pengurusan, sistem pengurusan pangkalan data (database), reka bentuk grafik, animasi, multimedia, reka bentuk laman web, sistem rangkaian (network), kejuruteraan perkakasan, sistem komunikasi data dan sistem komputer digital. Mereka yang telah lulus SPM / STPM boleh mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam bidang Teknologi Maklumat di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Ijazah yang dianugerahkan oleh sesebuah universiti asing yang tertentu juga diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.


Bakal pelajar perlu menyemak senarai institusi pengajian tinggi luar negara yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mengikuti kursus di seberang laut. Peluang pekerjaan dalam bidang ini banyak & boleh dikatakan cerah kerana penggunaan komputer secara berleluasa. Siswazah boleh mencari kerja di agensi kerajaan; firma pembuatan dan perkhidmatan; organisasi perdagangan; syarikat pembuatan komputer; bank tempatan dan luar negeri; organisasi penyelidikan; penguasa tempatan, institusi pengajian tinggi, organisasi antarabangsa atau bekerja sebagai perunding untuk memberi penyelesaian IT kepada pelbagai agensi termasuk kerajaan.

Mereka yang menceburkan diri dalam bidang IT diberi pelbagai gelaran bergantung kepada bidang kepakaran serta pengkhususan mereka: pengaturcara penggunaan; penganalisis sistem (system analyst); pentadbir pangkalan data; pentadbir sistem (system administrator); perundig perisian; pentadbir rangkaian (network administrator); pereka bentuk laman web (web desginer); pakar multimedia & animasi; pengurus sistem maklumat; pentadbir laman web (webmaster); pengurus projek IT; jurutera perkakasan; juruaudit sistem komputer; jurutera perisian (software engineer); pereka bentuk pangkalan data; dan penganalisis komunikasi data.

Mereka yang berkelayakan IT berupaya mendapat gaji yang lebih lumayan sekiranya memiliki satu kelayakan profesional – Microsoft Certified Professional (MCP). Di Malaysia, seorang profesional IT yang baru boleh mendapat gaji permulaan di antara RM 2,000 dan RM 2,500 sebulan . Mereka yang mempunyai pengalaman kerja lebih kurang 6 tahun serta pengetahuan dan kemahiran dalam pentadbiran rangkaian (network administration), reka bentuk laman web, reka bentuk grafik & animasi (graphic designer & animation), pengiklanan multimedia dan penyelesaian perniagaan (business solutions) boleh mendapat gaji kira-kira RM 6,000-RM 8,000 sebulan.

20 April 2007

Atasi enjin motosikal bergegar

English: The author's own Yamaha Lagenda 110 m...
English: The author's own Yamaha Lagenda 110 motorcycle with its trunk being installed. Bahasa Melayu: Motosikal Yamaha Lagenda 110 penulis dengan kotak barangan yang terpasang. (Photo credit: Wikipedia)

Masalah motosikal bergegar ketika memecut 80 hingga 100 km/j & kurangnya daya pecutan memang menghantui pemilik motosikal. Masalah ini bukan saja menyebabkan pemanduan kurang selesa malah dikhuatiri kenderaan itu akan mati di tengah jalan. Apa pun, masalah gegaran perlu dikaji dari pelbagai aspek, sama ada gegaran itu datangnya dari enjin atau dari roda motosikal. Gegaran enjin lazimnya lebih ketara apabila kelajuan melebihi sesuatu tahap rpm itu iaitu ia menjadi lebih teruk apabila melepasi tahap itu. 

Gegaran pada roda kadangkala tidak menimbulkan masalah serius. Ada ketikanya sewaktu memandu lebih laju gegaran pada kelajuan 80km/j akan hilang apabila anda melepasi 85 km/j. Gegaran roda ini boleh diatasi dengan melakukan pengimbangan tayar (balancing) bagi memastikan masalah sebenar, sama ada ia dari tayar atau kerana rim tayar bengkok. Gegaran enjin pula membayangkan tahap kehausan komponen enjin melebihi tahap kelegaan dibenarkan dan mungkin enjin memerlukan baik pulih (overhaul).

Ini adalah kerana enjin haus dan bergetar apabila ia beroperasi dan menyebabkan gegaran. Punca gegaran enjin ini boleh datang dari berbagai-bagai bahagian enjin, sama ada dari piston, gegalas utama atau main-bearing dan mungkin dari bahagian klac atau flywheel. Bagi masalah kurang daya pecutan, ada beberapa punca yang perlu dikenal pasti terlebih dulu. Clutch slip biasanya terjadi disebabkan 2 perkara, iaitu menggunakan minyak pelincir yang terlalu tinggi tahap pelinciran dan tidak sesuai untuk jentera atau kerana kehausan komponen klac seperti piring klac dan spring. 

Prestasi yang baik hanya didapati apabila menggunakan alat ganti tulen atau alat ganti perlumbaan yang sememangnya jauh lebih mahal. Gear yang sukar dimasukkan sepatutnya tidak dialami bagi enjin yang baru dibaik pulih kerana mekanik yang baik dapat mengesan kerosakan pada tuil gear di dalam enjin, jika itu masalahnya. Namun sistem klac yang tidak beroperasi dengan baik juga menyebabkan gear susah dihubungkan atau susah masuk kerana klac tidak dapat membebaskan piring klac sepenuhnya menyebabkan ia masih terhubung dengan batang engkol. Mungkin masalah gear ada kaitannya dengan masalah klac. Enjin yang hilang kuasa apabila pendikit terlebih pulas menggambarkan pelarasan karburetor yang tidak tepat dan terlalu mewah sehingga membasahkan plug. Tetapi ini boleh berlaku pada enjin yang mengalami kebocoran mampatan apabila campuran bahan api tidak sempat dibakar sepenuhnya untuk enjin bertindak balas pada penambahan bahan api. Ini sepatutnya tidak terjadi pada enjin yang baru dibaik pulih.

Apapun, pengguna perlu menjaga motosikal dengan baik sepanjang masa. Ikuti manual penjagaan yang diberikan pengeluar motosikal. Jadual penukaran minyak pelincir dan servis perlu diikuti secara tepat untuk memastikan tahap perlindungan enjin secara maksimum. Gunakan minyak pelincir yang terbukti keberkesanannya. Pastikan juga motosikal sentiasa dibersihkan dan seperti yang pernah diperkatakan, basuh sendiri motosikal dan teliti setiap bahagian sambil memeriksa setiap komponen untuk mengenal pasti kerosakan kecil yang mungkin dialami. Tukar bahagian yang rosak sebelum ia merebak dan menyebabkan kerosakan lebih teruk serta menjejaskan prestasi motosikal. Berikan lebih tumpuan pada bahagian motosikal yang membabitkan keselamatan penunggang seperti brek, tayar dan pengendalian. 

Dapatkan nasihat rakan berpengalaman dan pelajari cara mengenal pasti tahap kehausan. Sebagai contoh, tayar mempunyai penanda tahap kehausan untuk memberi panduan bilakah tayar perlu ditukar. Bateri pula perlu diperiksa tahap elektrolit dan selalunya tahan sehingga 2 tahun. Penelitian adalah penting untuk memastikan motosikal sentiasa berada dalam keadaan baik. Hantar motosikal untuk diperiksa mekanik bertauliah seandainya dirasakan perbezaan sewaktu mengendalikan motosikal anda. Ini menjamin tahap keselamatan jentera dan menjanjikan kepuasan jangka panjang.


Enhanced by Zemanta

19 April 2007

Kalau dahi tidak mencecah sejadah

"Sudah Bersediakah Aku Ketika Dipanggil
Pulang Oleh Allah SWT?!!!

Allahu Akbar! La haula wala quwata
illah billah hil aliyil aziim...

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu
dimandikan!
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu
diwudhu'kan!
Bersolatlah kamu sebelum kamu
disolatkan!
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu
ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!
Pada waktu itu tidak guna lagi
bersedih....
Walaupun orang yang hadir itu
merintih....

Selepas itu kamu akan diletak di atas
lantai....
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa....
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu
Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu
dapat menebus....
Segala dosa meninggalkan solat
sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk
dan sujud....
Dapat membayar hutang rukuk dan
sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika
beranggapan demikian....
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin
dan Muslimat....
Usunglah dirimu ke tikar Solat....
Sebelum kamu diusung ke liang lahad....
Menjadi makanan cacing dan mamahan
ulat!

Iringilah dirimu ke masjid....
Sebelum kamu diiringi ke Pusara!
Tangisilah dosa-dosamu di dunia....
Kerana tangisan tidak berguna lagi di
alam baqa'!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu
disucikan!
Sedarlah kamu sebelum kamu
disedarkan.. ..
Dengan panggilan 'Izrail yang
menakutkan!
Berimanlah kamu sebelum kamu
ditalkinkan!
Kerana ianya berguna untuk yang
tinggal....
Bukan yang pergi!



Beristighfarlah kamu sebelum kamu
diistighfarkan!
Namun ketika itu istighfar tidak
menyelamatkan!

Ingatlah di mana saja kamu berada....
Kamu tetap memijak bumi Allah!
Dan dibumbungi dengan langit Allah!
Serta menikmati rezeki Allah!
Justeru bila Dia menyeru,....
Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia....
memanggilmu buat kali yang terakhirnya!
Ingatlah kamu dahulu hanya....
setitis air mani yang sangat hina!

Lalu menjadi segumpal darah!
Lalu menjadi seketul daging!
Lalu daging itu membaluti tulang!
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai
erti....

Ingatlah asal usulmu yang tidak
bernilai itu....
Yang kalau jatuh ke tanah ayam tak
patuk itik tak sudu!
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu
mercu....
Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia....
Tapi gunakanlah ia buat melayar
bahtera akhirat!

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas
Solaah'....
Dengan penuh rela dan bersedia!
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal
Falaah'....
Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal....
Menjadi bekal sepanjang jalan!
Menjadi teman di perjalanan.. ..
Guna kembali ke pangkuan Allah!

Pada hari itu tiada berguna....
Harta, tahta dan putera/puteri. ...
Suami/isteri, kad kredit dan kereta....
Kondominium, saham dan niaga....
Kalau dahi tak mencecah sejadah di
dunia!!!

"Saling berpesan-pesan untuk kearah
kebaikkan"

18 April 2007

Parlimen Perancis pilih Ubuntu Linux

Parlimen Perancis telah memilih Ubuntu sebagai komputer desktop untuk ahli-ahli parlimen dan para pembantunya.

Parlimen Perancis membuat keputusan untuk menggantikan kesemua sistem operasi (OS) dari Windows kepada distribusi Linux untuk kesemua 1,154 buah komputer sebelum bermulanya sesi parlimen yang akan datang pada bulan Jun ini.

Sisitem operasi Linux Ubuntu ini akan dimuatkan dengan beberapa pakej sumber terbuka seperti suit produktiviti OpenOffice.org yang didatangkan dengan Ubuntu, termasuk pelayar web (web browser) Mozilla Firefox.


ubuntuLangkah ini dilihat sebagai satu galakan kepada pembangun aplikasi sumber terbuka (open source). France Telecom, firma perkhidmatan IT, Bull dan INRIA, sebuah institut penyelidikan sains komputer adalah antara badan pelaksana di bawah konsortium sumber terbuka ObjectWeb ini.

Ubuntu merupakan distribusi Linux yang amat popular di kalangan pengguna-pengguna utama komputer. Perisian ini berasaskan kepada Debian dan ditaja oleh Canonical.

Distribusi Ubuntu ini berbeza dengan SuSE kepunyaan Novell dimana Ubuntu menyediakan pemuat turunan kod-kod pelaksanaan secara percuma dan mengundang sesiapa saja untuk melibatkan diri di dalam pembangunan perisian ini yang tidak dilakukan oleh SuSE.

Red Hat pula menawarkan distribusi Linux desktop dan memerlukan langganan berbayar untuk sebarang muat turun terhadap fail-fail pelaksanaan perisian pelayan (server) mereka. Novell menawarkan SuSE sebagai muat turun percuma, tetapi mengenakan bayaran untuk pengemaskiniannya.

16 April 2007

Jerat siber menunggu si mata duitan

Sekarang sudah heboh di sana-sini orang bercakap mengenai pelaburan Internet. Tambahan pula isu ini sedang rancak dibahas dalam ahkbar-akhbar arus perdana. Antaranya soal status halal dan haramnya dari segi agama dan undang-undang. Tetapi dalam Internet fenomena baru sekelompok warga negara ini bukan isu baru. Jika tidak percaya, buka pelayar web, taip kata kuncinya (keyword) dan klik butang carian (search). Banyak yang boleh kita temui sumber-sumber yang ada kaitan dengan pelaburan, jualan langsung, dan pemasaran berbilang tingkat (MLM - Multi Level Marketing) dalam ruang siber ini.

Sebut sahaja, tapak web, laman blog (biasanya milik peribadi), forum perbincangan, malah e-mel juga tidak terkecuali. Anda mudah menemuinya secara sengaja atau tidak. Hal ini bukan perkara luar biasa kerana Internet dan kemudahan sampingannya banyak membantu dalam kegiatan bertunjangkan duit seperti tadi. Begitulah ragam Internet yang bukan sahaja boleh mewujudkan jaringan sosial dalam sekelip mata, bahkan juga jaringan bisnes yang sukar diketahui hujung pangkalnya. Jangan salahkan Internet, kerana teknologi ini belum cukup cerdik untuk membezakan aktiviti penggunanya yang berniat baik atau bermotif serong. Jadi, tidak mustahil jika ada kelompok yang cuba mengambil kesempatan terhadap ‘ruang gelap atau samar’ yang seiring dengan kebaikannya. Ruang inilah yang gemar diterokai pihak-pihak tertentu untuk mencuba jerat mereka. Golongan ini bukan hanya sekadar menunjukan kemahiran, tetapi turut meragut duit orang lain.

Buktinya, kita sudah sudah diperingatkan dengan laporan sahih dalam media cetak. Antaranya, kerugian kerana menyertai pelaburan internet, ditipu gara-gara terpikat dengan peraduan SMS temberang, duit dalam bank susut dirompak penyangak siber menggunakan teknik memperdaya (phishing) dan macam-macam lagi. Tidak terkecuali juga ada yang kreatif dengan menggunakan imej atau video (mengaibkan seseorang) sebagai bahan ugutan bagi mendapatkan duit. Sekali lagi, teknologi canggih seperti kamera video digital, kamera digital, dan telefon bimbit berkamera disalahgunakan. Internet pula dijadikan medan aktiviti gelap mereka. Agak membimbangkan juga apabila muncul teknologi baru yang mula meraih perhatian. Antaranya, teknologi komunikasi bersepadu (unified communication) yang turut menggabungkan komunikasi VoIP (suara di atas protokol Internet). Buat masa ini, ia sedang giat dipromosikan untuk kegunaan perniagaan atau syarikat besar.

Malangnya sudah ada pemangsa yang menggunakan teknologi VoIP ini bagi memperdaya mangsanya agar menyerahkan data sulit. Modus operandinya mirip penipuan e-mel atau tapak web (phishing). Disebabkan kegiatan menyalah guna teknologi ini tidak menampakkan kesudahannya, anda dinasihati supaya sentiasa berwaspada selalu.

04 April 2007

Apakah itu BIOS?

Anda tentu pernah terdengar atau ternampak perkataan ini: BIOS terutamanya ketika mula menghidupkan komputer peribadi (PC) anda. Ketika memulakan komputer, anda mungkin dapat melihat beberapa paparan seperti jumlah memori dalam komputer, aturan (settings) cakera keras (hard disk), CD-ROM dan sebagainya. Kesemua ini adalah antara hasil dari arahan yang dilaksanakan BIOS.


BIOS merupakan akronim (singkatan) kepada perkataan Basic Input Output System (Sistem Input Output Asas). Ia bertindak sebagai satu program yang akan menjalankan beberapa rutin seperti mengesan perkakasan (hardware) dan seterusnya memeriksa aturan perkakasan dalam komputer anda (seperti papan kekunci (keyboard) dan tetikus (mouse)) atau adakah perkakasan komputer anda berada dalam keadaan baik dan berfungsi sebelum memulakan sistem operasi (OS), contohnya Windows. Tugas memulakan sistem operasi Windows juga sebenarnya dilaksanakan oleh program BIOS ini.

Tidak seperti sistem operasi di mana ia disimpan di dalam cakera keras (hard disk), program BIOS disimpan dalam satu cip ingatan (memory chip) pada papan induk (motherboard) yang dikenali sebagai Flash Memory atau Flash BIOS (kerana ia meyimpan program BIOS). BIOS sebenarnya bertindak sebagai sebuah program khas yang membolehkan perkakasan komputer berinteraksi antara satu sama lain sebaik sahaja komputer dihidupkan.

Sistem komputer dikawal oleh Unit Pemprosesan Pusat (CPU - Central Processing Unit). Tetapi sebaik sahaja komputer dihidupkan, CPU perlu menerima arahan (arahan dalam sistem komputer diberi dalam bentuk program) sebelum dapat melaksanakan tugasnya mengawal sistem dan berinteraksi dengan perkakasan. Maka program BIOSlah yang memberikan arahan pertama pada CPU. Dengan kata lain, BIOS memberitahu CPU apa yang perlu dilakukan seperti memeriksa kesemua perkakasan dalam sistem berfungsi dengan baik, memeriksa kehadiran papan kekunci, tetikus, port bersiri (serial port), port selari (parallel port), USB dan sebagainya. Program BIOS dilaksanakan (load) secara automatik dari cip Flash BIOS sebaik sahaja suis komputer dihidupkan.

Program BIOS ditulis menggunakan bahasa pengaturacaraan yang dikenali sebagai bahasa aras rendah (low level language). Bahasa aras rendah adalah berbeza dengan bahasa pengaturcaraan yang digunakan untuk membuat permainan permainan (games), aplikasi pejabat, virus dan sebagainya seperti C++, Visual Basic .NET dan lain-lain bahasa pengaturcaraan aras tinggi (high level language programming). Dalam bahasa aras rendah, pengaturara memberi arahan secara terus kepada sesuatu perkakasan, seolah-olah 'bercakap’ kepada perkakasan untuk melakukan sesuatu tugas. Bahasa pengaturcaraan yang digunakan BIOS pada kebiasaanya adalah bahasa himpunan (assembly language).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...