20 April 2007

Atasi enjin motosikal bergegar

English: The author's own Yamaha Lagenda 110 m...
English: The author's own Yamaha Lagenda 110 motorcycle with its trunk being installed. Bahasa Melayu: Motosikal Yamaha Lagenda 110 penulis dengan kotak barangan yang terpasang. (Photo credit: Wikipedia)

Masalah motosikal bergegar ketika memecut 80 hingga 100 km/j & kurangnya daya pecutan memang menghantui pemilik motosikal. Masalah ini bukan saja menyebabkan pemanduan kurang selesa malah dikhuatiri kenderaan itu akan mati di tengah jalan. Apa pun, masalah gegaran perlu dikaji dari pelbagai aspek, sama ada gegaran itu datangnya dari enjin atau dari roda motosikal. Gegaran enjin lazimnya lebih ketara apabila kelajuan melebihi sesuatu tahap rpm itu iaitu ia menjadi lebih teruk apabila melepasi tahap itu. 

Gegaran pada roda kadangkala tidak menimbulkan masalah serius. Ada ketikanya sewaktu memandu lebih laju gegaran pada kelajuan 80km/j akan hilang apabila anda melepasi 85 km/j. Gegaran roda ini boleh diatasi dengan melakukan pengimbangan tayar (balancing) bagi memastikan masalah sebenar, sama ada ia dari tayar atau kerana rim tayar bengkok. Gegaran enjin pula membayangkan tahap kehausan komponen enjin melebihi tahap kelegaan dibenarkan dan mungkin enjin memerlukan baik pulih (overhaul).

Ini adalah kerana enjin haus dan bergetar apabila ia beroperasi dan menyebabkan gegaran. Punca gegaran enjin ini boleh datang dari berbagai-bagai bahagian enjin, sama ada dari piston, gegalas utama atau main-bearing dan mungkin dari bahagian klac atau flywheel. Bagi masalah kurang daya pecutan, ada beberapa punca yang perlu dikenal pasti terlebih dulu. Clutch slip biasanya terjadi disebabkan 2 perkara, iaitu menggunakan minyak pelincir yang terlalu tinggi tahap pelinciran dan tidak sesuai untuk jentera atau kerana kehausan komponen klac seperti piring klac dan spring. 

Prestasi yang baik hanya didapati apabila menggunakan alat ganti tulen atau alat ganti perlumbaan yang sememangnya jauh lebih mahal. Gear yang sukar dimasukkan sepatutnya tidak dialami bagi enjin yang baru dibaik pulih kerana mekanik yang baik dapat mengesan kerosakan pada tuil gear di dalam enjin, jika itu masalahnya. Namun sistem klac yang tidak beroperasi dengan baik juga menyebabkan gear susah dihubungkan atau susah masuk kerana klac tidak dapat membebaskan piring klac sepenuhnya menyebabkan ia masih terhubung dengan batang engkol. Mungkin masalah gear ada kaitannya dengan masalah klac. Enjin yang hilang kuasa apabila pendikit terlebih pulas menggambarkan pelarasan karburetor yang tidak tepat dan terlalu mewah sehingga membasahkan plug. Tetapi ini boleh berlaku pada enjin yang mengalami kebocoran mampatan apabila campuran bahan api tidak sempat dibakar sepenuhnya untuk enjin bertindak balas pada penambahan bahan api. Ini sepatutnya tidak terjadi pada enjin yang baru dibaik pulih.

Apapun, pengguna perlu menjaga motosikal dengan baik sepanjang masa. Ikuti manual penjagaan yang diberikan pengeluar motosikal. Jadual penukaran minyak pelincir dan servis perlu diikuti secara tepat untuk memastikan tahap perlindungan enjin secara maksimum. Gunakan minyak pelincir yang terbukti keberkesanannya. Pastikan juga motosikal sentiasa dibersihkan dan seperti yang pernah diperkatakan, basuh sendiri motosikal dan teliti setiap bahagian sambil memeriksa setiap komponen untuk mengenal pasti kerosakan kecil yang mungkin dialami. Tukar bahagian yang rosak sebelum ia merebak dan menyebabkan kerosakan lebih teruk serta menjejaskan prestasi motosikal. Berikan lebih tumpuan pada bahagian motosikal yang membabitkan keselamatan penunggang seperti brek, tayar dan pengendalian. 

Dapatkan nasihat rakan berpengalaman dan pelajari cara mengenal pasti tahap kehausan. Sebagai contoh, tayar mempunyai penanda tahap kehausan untuk memberi panduan bilakah tayar perlu ditukar. Bateri pula perlu diperiksa tahap elektrolit dan selalunya tahan sehingga 2 tahun. Penelitian adalah penting untuk memastikan motosikal sentiasa berada dalam keadaan baik. Hantar motosikal untuk diperiksa mekanik bertauliah seandainya dirasakan perbezaan sewaktu mengendalikan motosikal anda. Ini menjamin tahap keselamatan jentera dan menjanjikan kepuasan jangka panjang.


Enhanced by Zemanta
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...