19 Julai 2007

Pembinaan kapasiti kemahiran resepi kejayaan individu

Penguasaan ilmu lazimnya bergerak seiring pembangunan ekonomi. Peningkatan ekonomi pula hanya akan bermakna apabila ia meningkatkan mutu kehidupan individu, masyarakat & negara. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, mutu & taraf hidup rakyat negara ini sudah meningkat. Pelbagai kemajuan dicapai dalam semua aspek seperti peningkatan pendapatan per kapita, pelajaran, kemahiran teknikal, kesihatan, purata jangka hayat umur, pemilikan aset serta keagamaan, budaya, sukan, rekreasi & sosial.

Isu penting yang perlu difikirkan ialah bagaimanakah peningkatan positif boleh diteruskan sementara yang negatif dibendung. Antara asas penting ialah usaha memperkaya & mempertajamkan minda setiap individu dengan ilmu yang bermanfaat disamping mampu membentuk perwatakan cemerlang. Kekuatan ilmu, kemahiran teknikal & perwatakan positif seperti berani, rajin & amanah adalah asas kepada kejayaan bangsa yang berjaya di dunia ini.

Negara Jepun yang tidak memiliki kekayaan sumber alam semula jadi begitu berjaya kerana kekuatan minda & kemahiran teknikal dan kekuatan perwatakan. Justeru, setiap rakyat Malaysia perlu berusaha supaya kapasiti minda & kemahiran teknikal dipertingkatkan supaya kita juga dapat menawarkan produk & perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat dunia & melaluinya kita boleh menikmati kemakmuran. Sistem & prasarana untuk pembangunan ilmu & kemahiran teknikal di negara kita sudah cukup baik.


Apa yang diperlukan ialah kesedaran, kesungguhan & sedia berkorban masa, tenaga & wang ringgit untuk mewujudkan tambah nilai kepada modal insan sedia ada. Umumnya usaha pelaburan modal insan ini tidak memberi pulangan segera tetapi ia menjanjikan pulangan lumayan pada jangka panjang. Rakyat negara ini sungguh bernasib baik kerana kerajaan melalui rancangan pembangunan 5 tahun yang silih berganti sejak merdeka sentiasa mementingkan pembangunan sumber manusia dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat tertinggi.

Namun, pembinaan perwatakan cemerlang rakyat Malaysia perlu dimulakan oleh ibu bapa semasa anak-anak masih kecil di rumah lagi melalui didikan & penerapan nilai mulia, diikuti dengan penghayatan & pembudayaan watak itu di sekolah, seterusnya pengukuhan amalan kerja mulia di tempat kerja. Gabungan antara keupayaan minda & kemahiran teknikal yang tinggi dengan perwatakan cemerlang sudah tentu adalah resipi kejayaan untuk individu mahupun untuk negara.

Perwatakan rajin, gigih & sedia untuk belajar yang dipamerkan kumpulan pendatang & pekerja asing di negara ini telah membolehkan mereka memperoleh pendapatan memuaskan. Rumusannya, pembinaan kapasiti kebolehan & kemahiran individu yang diasaskan pada perwatakan cemerlang adalah resipi untuk seseorang itu maju & berjaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...