16 Januari 2008

Ijazah bukan saham mudah untuk dapat kerja

Ada remaja yang sudah memperoleh diploma dan ijazah masih belum mendapat kerja tetap. Malah ada yang terpaksa menunggu hingga 5 tahun baru mendapat pekerjaan yang sesuai setelah melakukan pelbagai pekerjaan sementara. Namun, ada juga yang tidak memiliki ijazah tetapi senang mendapat kerja. Lebih melucukan ada yang suka bertukar kerja keraan gaji tidak menarik, suasana kerja tidak memuaskan dan bidang pekerjaan tidak sesuai dengan jiwa & kepakarannya.

Pengangguran di kalangan siswazah sekarang membuka mata bahawa sikap memilih kerja tidak harus wujud. Perlu diingat bahawa ibu bapa mengharapkan anaknya bekerja atau sekurang-kurangnya tidak menyusahkan orang tua lagi. Ada kes seorang graduan, dikenali sebagai Osman yang diterima bekerja oleh sebuah syarikat yang baru 5 bulan beroperasi. Dia boleh dikategori sebagai bertuah & mendapat gaji RM1,300 sebulan. Maklumlah keadaan ekonomi & kadar pengangguran yang tinggi tidak mengizinkan graduan terlalu memilih kerja. Malangnya, syarikat itu tidak bertahan lama, dia hanya merasai 3 bulan gaji. Dia terus kembali tergolong dalam kategori siswazah menganggur. Berbagai-bagai cara dilakukan untuk mendapat kerja.
Salah satu dari usaha Osman ialah menerusi agensi pekerjaan. Nasib menyebelahinya. Dia ditawarkan pekerjaan sementara sebagai pembantu akaun di sebuah syarikat multinasional. Tempoh bekerja selama 6 bulan mendedahkannya kepada pengetahuan IT dalam dunia korporat. Semua transaksi menggunakan komputer & sistem pembayaran adalah secara dalam talian (online) dengan bank. Apa yang menarik, penyelianya tidak mempunyai sebarang kelayakan profesional, tetapi pada usia baru mencecah 30-an, pencapaiannya dalam kerjaya agak membanggakan. Gajinya sudah mencecah lebih RM3,000 sebulan. Dia pernah berkata kepada Osman: "Segulung ijazah belum cukup untuk seseorang mengorak langkah jauh dalam kerjayanya. Ijazah bukan lesen untuk mendapatkan pekerjaan tetap." Kita harus mempunyai pengetahuan yang global & kemahiran seperti komunikasi, celik IT, cekap, dan yakin pada diri sendiri, katanya.

Selepas tamat kontrak, graduan itu kembali meneruskan pencarian iaitu cari kerja. Kadang-kadang Osman tergelak sendirian apabila memikirkan apakah pekerjaan sebenar yang diingini sebagai pencari kerja. Sekali lagi dia ditawarkan pekerjaan sementara di sebuah syarikat multinasional yang lain. Di syarikat ini, Osman menimba pelbagai pengalaman asas yang perlu bagi seseorang dalam sesuatu pekerjaan. Mungkin kerana Osman diberi kepercayaan yang setara dengan pekerja tetap yang ada di syarikat itu. Tidak kurang juga dengan kerjasama & pertolongan daripada ketua dan rakan-rakan di jabatan. Hampir 6 bulan Osman bekerja di syarikat itu. Ada pekerja disitu menyatakan bahawa kelulusan Osman terlalu tinggi (over-qualified) untuk kekosongan yang ada (kekosongan untuk pembantu akaun). Sebenarnya dia telah lali dengan jawapan itu kerana jawapan sebegitulah yang sering didengar apabila menghadiri temu duga. Sekali lagi selepas tamat kontrak, Osman menjadi penganggur terhormat.

Osman tidak berputus asa. Dia sanggup turun naik pejabat menghadiri temu duga sama ada menerusi agensi pekerjaan, melayari laman web, menulis surat permohonan & bermacam-macam lagi. Dia masih lagi boleh bernafas kerana mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk masa-masa terdesak. Tetapi lambat-laun wang pasti berkurangan. Macam-macam yang perlu dibayar, itu belum termasuk kos minta kerja - duit setem, gambar, sampul surat, kertas A4 & fotokopi. Dia juga membayangkan harapan ibu bapa menghantar anak-anak ke peringkat yang tinggi dengan harapan selepas bergraduan kelak, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka atau paling tidak pun anak mereka dapat hidup berdikari. Walaupun keluarga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan tapi dia pasti mereka tidak mahu melihatnya bertungkus-lumus untuk hidup.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...