23 Januari 2008

Pastikan Internet selamat untuk kanak-kanak

Penggunaan komputer & laman web tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, tetapi meliputi pelbagai peringkat termasuk kanak-kanak. Dunia web yang seharusnya menjadi perantara dalam mendapatkan pelbagai maklumat berharga sering disalah gunakan bagi tujuan negatif seperti melayari laman web lucah, kemungkinan terdedah kepada kenalan baharu yang tidak dikenali latar belakangnya & penipuan kerja sekolah hasil daripada kandungan yang diperoleh.

Perlu diingat, kanak-kanak adalah segmen pengguna yang mudah terdedah kepada tipu helah pengguna lain yang cuba memanipulasi mereka yang berada di dunia web. Bagi memastikan proses melayari web dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam persekitaran yang selamat, beberapa garis panduan, terutama kepada ibu bapa bagi mengelak anak mereka daripada terdedah kepada ancaman Internet. Antaranya adalah pastikan anak-anak yang memiliki e-mel tidak mendedahkannya kepada orang yang tidak dikenali & elakkan daripada memberikan nama penuh, sekolah, alamat, nombor rumah serta telefon kepada kenalan baharu dari dunia web itu.

Kanak-kanak seharusnya mengelakkan daripada bersetuju mengadakan pertemuan dengan orang yang tidak dikenali ketika bertemu di dunia web & maklumkan ibu bapa atau penjaga mereka berhubung perkembangan itu. Apabila anda mendapat e-mel yang tidak dikenali pengirimnya, disarankan supaya tidak membuka e-mel itu & pada masa yang sama jangan dedahkan kata laluan Internet kepada orang lain. Jika laman web yang dilawati atau e-mel yang diterima mengandungi kandungan yang tidak menyenangkan, kanak-kanak perlu memberitahu ibu bapa atau penjaga mereka. Kepada ibu bapa pula, hadkan penggunaan komputer peribadi (PC) kepada hanya satu saja bagi membolehkan aktiviti pelayaran Internet anak mereka diawasi sepanjang masa & jelaskan kepada kanak-kanak keperluan untuk lebih berhati-hati ketika melayari laman web baharu.
Pelbagai pakej perisian turut ditawarkan di rak jualan kelengkapan IT ketika ini yang boleh membantu mengawal aktiviti pelayaran Internet kanak-kanak seperti merekodkan alamat laman web yang dilayari, e-mel, perisian aplikasi komunikasi, menapis & menghalang kemasukan pada laman web tertentu. Jika anak-anak anda menggunakan aplikasi carian Google, pada kolum 'Preferences', ibu bapa boleh membuat pilihan untuk menetapkan penapisan carian selamat bagi menghalang imej & teks yang dilarang daripada dipaparkan. Selain daripada memiliki kata laluan pentadbir sendiri, ibu bapa atau penjaga disaran membuka akaun pengguna berasingan untuk kegunaan kanak-kanak bagi memastikan perisian yang boleh memudaratkan tidak dipasang, aktiviti pemindahan fail penting tanpa kebenaran dikenalpasti & penukaran ketetapan Windows dihalang.

Ia boleh dilaksanakan menerusi proses satu klik pada menu Start, disusuli Control Panel & User Account. Kemudiannya, anda boleh membuka akaun baharu untuk anak dengan memilih nama serta had akaun sebelum meneruskan lengkah terakhir ketetapan Windows itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...