05 Februari 2008

Elak panggil nama kepada insan lebih tua

Bahasa menunjukkan bangsa manakala pertuturan pula boleh menyerlahkan keperibadian seseorang. Namun, ada anak muda tidak menghormati orang lain terutama yang lebih tua & berkedudukan. Sesetengahnya sekadar memanggil nama atau 'hoi' saja sedangkan ada perkataan lain yang lebih manis & sopan seperti pak cik, pak haji, mak haji, cik puan, abang atau kakak. Apabila kita memanggil orang, kita menggunakan kata nama panggilan. Nama panggilan ada 3 jenis:

-Gelaran seperti datuk, datin, tuan, puan, encik, cik puan, & saudara.
-Kata ganti seperti kamu, engkau, awak, anda, hang, & sebagainya.
-Nama hubungan keluarga seperti bapa, emak, pak cik, mak cik, abang, kakak, & adik.

Kita menggunakan gelaran apabila bercakap dengan orang yang tarafnya tinggi & dengan orang yang belum biasa dengan kita. Penggunaan gelaran ini menunjukkan hubungan rasmi. Kita menggunakan kata ganti terhadap rakan setaraf atau yang lebih rendah. Penggunaan kata ganti ini menunjukkan hubungan biasa atau hubungan bertingkat. Kita menggunakan nama hubungan keluarga kepada ahli keluarga & orang yang rapat dan dianggap keluarga.

Hubungan mesra

Penggunaan hubungan keluarga menunjukkan hubungan mesra. Kini, nama hubungan keluarga sering digunakan oleh sesetengah orang dalam hubungan rasmi. Keadaan ini perlu dibetulkan. Menggunakan kata nama hubungan keluarga ditentukan oleh 2 faktor. Pertama, nama hubungan keluarga digunakan di kalangan keluarga. Kedua, penggunaannya ditentukan oleh usia orang yang bercakap, terutama antara kenalan biasa & bukan ahli keluarga. Kata nama hubungan keluarga seperti emak, ayah, abang, kakak, adik, datuk, nenek, pak cik, mak cik, & sebagainya itu adalah panggilan untuk ahli keluarga. Yang mengelirukan ialah dalam budaya Melayu, keluarga bukanlah sekadar ibu, bapa, abang, kakak, & adik.

Dalam masyarakat Melayu yang berkeluarga lebih besar, orang yang ada pertalian darah dianggap keluarga. Malah penduduk sekampung pun sering diiktiraf sebagai bersaudara. Syarat ini mengatasi faktor usia. Misalnya, adik perempuan kepada emak kita, walaupun lebih muda daripada kita, tetap dipanggil mak su. Amalan ini terbawa-bawa ke dalam konteks luar daripada keluarga & kampung. Hal ini menyebabkan orang Melayu memanggil siapa saja pak cik, mak cik, abang, kakak, & adik. Amalan menggunakan nama hubungan keluarga ini ada hadnya. Apabila digunakan kepada orang yang tidak layak dipanggil dengan nama hubungan keluarga, perbuatan ini boleh menjadi biadap.

Abang atau pak cik

Faktor usia pun perlu diambil kira dalam menggunakan nama hubungan keluarga, Katakanlah apabila Azman bercakap dengan Daud menggunakan panggilan abang. Jika Daud jauh lebih tua, Azman akan menggunakan panggilan pak cik & jika muda sedikit memanggil 'abang'. Tetapi jika Daud jauh lebih muda, Azman akan memanggilnya dengan nama peribadi, iaitu Daud saja. Begitu juga sebaliknya. Kata nama hubungan keluarga seperti ini digunakan apabila kita bercakap dengan orang yang ada hubungan keluarga saja, ataupun, antara orang yang kenal biasa. Sebagai contoh, Mahmud & Zaidin kenal biasa antara satu sama lain. Mereka mungkin orang sekampung, berjiran, menjadi anggota kumpulan yang sama & seumpama itu. Nama hubungan keluarga tidak boleh digunakan untuk orang yang tidak mempunyai hubungan keluarga. Sebagai contoh, jika mahmud seorang kerani pejabat & Zaidin adalah ketuanya, Mahmud tidak boleh memanggil Zaidin dengan kata hubungan keluarga. Perbuatan itu tidak sopan, kerana hubungan antara mereka adalah hubungan sekerja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...