15 Februari 2008

Faktor perlu diambil kira apabila membeli rumah

Dalam membuat keputusan pembelian rumah, anda mempunyai 3 pilihan iaitu membeli rumah sekarang kerana anda sudah menjumpai rumah yang sesuai, menarik & menguntungkan atau anda menangguhkan pembelian sehingga berjumpa dengan rumah sedemikian atau anda menyewa rumah sepanjang hayat anda. Bagi membuat pilihan pertama & ke-2 anda perlu tahu kriteria dalam menentukan rumah yang hendak dibeli itu sesuai, menarik & menguntungkan.

Pertama, anda perlu mencari lokasi, keluasan, susun atur, bilangan bilik, kemasan & ciri rumah yang sesuai dengan keperluan, kehendak & kemampuan kewangan anda. Jangan lupa mengambil kira keperluan sekarang & juga keperluan tambahan apabila bilangan anak bertambah.

Ke-2 ialah mencari rumah yang harga tawarannya menarik. Anda perlu membandingkan harga tawaran dengan harga pasaran untuk rumah seumpama itu di kawasan berkenaan. Anda boleh mengira berapakah luas rumah itu & mengira kos jualan bagi setiap kaki persegi. Kos jualan berdasarkan RM/kaki persegi boleh digunakan sebagai perbandingan dengan kos projek lain. Kos juga boleh dipecahkan kepada kos binaan & kos tanah berdasarkan keluasan binaan & keluasan tanah untuk unit berkaitan.

Ke-3 ialah menilai ciri kelebihan & kekurangan yang ada pada rumah berkenaan. Lokasi strategik berdekatan pusat bandar, kawasan perindustrian, sekolah, pasar, kejiranan rendah kadar jenayah, jalan raya tidak sesak & seumpamanya sudah tentu faktor positif yang menarik. Pada peringkat lebih mikro, rumah tepi, berhadapan dengan taman, menghadap matahari naik & memiliki pemandangan depan rumah yang menarik adalah antara faktor tambahan menjadi tarikan. Reka bentuk, susun atur & kemasan rumah yang baik akan menyumbang kepada keselesaan & memberi impak besar kepada suasana di dalam rumah. Spesifikasi alatan, kemasan lantai & sebagainya akan menentukan hayat ketahanan dan boleh menjadikan selenggaraan lebih mudah & murah.

Dari sudut ekonomi & pelaburan pula, keuntungan daripada pembelian sesebuah rumah diperoleh dari kenaikan nilai rumah & kenaikan sewa. Jika tempat itu strategik seperti berdekatan universiti, kolej, hospital, pejabat kerajaan, kawasan industri, & sebagainya, pertumbuhan ekonominya yang pesat menjadikan nilai rumah cepat meningkat. Jika sewa bulanan tinggi, ia boleh digunakan untuk membayar sebahagian dari ansuran pinjaman, sementara kenaikan nilai rumah hanya akan diperoleh apabila rumah itu dijual. Umumnya pembelian rumah boleh menjadi satu bentuk pelaburan yang baik kepada pasangan muda kerana duit sewaan bulanan akan bertukar sebagai bayaran ansuran pinjaman rumah & akhirnya rumah itu menjadi milik mereka. Insurans hartanah (MRTA) yang dibeli bersama pula boleh membantu melangsaikan hutang jika peminjam meinggal dunia & pewaris sudah bersedia dengan sebuah rumah untuk kediaman mereka. Jika anda mahu membeli rumah daipada pemaju perumahan, anda juga perlu sedar bahawa pemaju yang lemah boleh menyebabkan projek tidak siap atau rumah yang disiapkan tidak berkualiti. Anda dicadangkan meneliti latar belakang rekod pemaju dengan melihat rekod projek mereka yang lalu.

2 ulasan:

  1. Bagaimana kawasan perumahan itu kawasan seumpama kampung atau kawasan kelapa sawit yang di jadikan kawasan perumahan.adakah sesuai?

    BalasPadam
  2. Saya mohon share tuan. Tq

    BalasPadam

Terima kasih kerana sudi melawat dan memberi komen :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...