04 Februari 2008

Memanjangkan jangka hayat komputer peribadi

Penjagaan kelengkapan komputer secara konsisten mampu meningkatkan jangka hayat komputer peribadi (PC) pemilik, terutama bagi komponen dalaman produk seumpamanya. Kali ini kita akan berkongsi pengetahuan dalam penjagaan asas kelengkapan PC terutama daripada habuk yang boleh meningkatkan kepanasan komputer serta boleh memendekkan jangka hayat kelengkapan terbabit. Ia bukan saja mampu meningkatkan jangka hayat PC, malah menjimatkan kos penyelenggaraan bagi tujuan pembersihannya untuk tempoh jangka panjang.

Antara komponen asas utama kelengkapan PC yang perlu dijaga secara konsisten adalah 'casing' atau perumah, monitor, papan kekunci (keyboard) & tetikus (mouse). Untuk permulaan pengguna disarankan supaya tidak menempatkan 'casing' di atas lantai, sebaliknya menggunakan meja komputer yang dikhaskan untuk kelengkapan itu. Proses pembersihan itu boleh dilakukan dengan mencabut kabel penjana kuasa bagi sistem itu termasuk wayar penyambung yang lain. Apabila sudah dipastikan selamat, anda boleh membersihkannya dengan menggunakan sumber angin termampat bermula dari belakang casing komputer seterusnya ke bahagian depan.

Penekanan perlu diberikan dalam penjagaan kipas bekalan tenaga komputer itu. Selepas itu, lap secara perlahan casing anda dengan menggunakan kain lembap menerusi penggunaan cecair pembersih sebelum mengulangi proses itu dengan menggunakan kain kering. Pendekatan yang sama boleh digunakan dalam pembersihan papan kekunci & monitor pemilik. Pengguna disarankan untuk menutup papan kekunci dengan pelindung yang ditawarkan di pasaran terutama bagi mereka yang berada dalam persekitaran berhabuk. Bagi monitor komputer pula, pastikan bahagian cerminnya dilap dengan menggunakan kain lembut & cecair cermin yang boleh didapati di pasaran.

Tetikus yang turut dikenali antara komponen utama dalam kelengkapan PC boleh dibersihkan dengan mengeluarkan bebola di dalamnya selepas anda mencabut kabel sambungannya terlebih dahulu. Bebola yang sudah dibasuh itu perlu dikeringkan sebelum ia boleh ditempatkan semula di lokasi asalnya. Perlu diingat, bahagian dalaman tetikus yang menempatkan bebola itu perlu dibersihkan juga daripada habuk yang sering terperangkap di dalamnya. Langkah penjagaan konsisten itu perlu bagi mengelakkan komputer daripada cepat panas yang berpunca daripada habuk yang terperangkap. Kaedah itu boleh dilakukan dengan sendiri tanpa memerlukan pemilik PC menghantarnya ke kedai bagi tujuan pembersihan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...