05 Februari 2008

Swasta minat ambil lepasan IKBN

Hari Karnival 44
Hari Karnival 44 (Photo credit: ewth2)
Lebih 75% pelajar lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mendapat peluang pekerjaan di sektor perindustrian & selebihnya memilih untuk bekerja sendiri dengan menceburi bidang keusahawanan mengikut kemahiran masing-masing. Mengikut kajian, pada tahun lepas lebih 74.8% lulusan IKBN bekerja di sektor swasta, 4.6% di sektor perkhidmatan awam & 17.7% bekerja sendiri dan selebihnya sektor lain. Sejak penubuhan Pusat Kemahiran Belia pada 1966 & kemudian ditukar kepada IKBN mulai 1996 sehingga Jun lalu, institusi berkenaan sudah melahirkan 60,859 pelatih di seluruh negara. Mengikut kajian itu juga, kursus yang paling popular yang mendapat tawaran di pasaran pekerjaan ialah jahitan, hospitaliti, automotif & elektrik. Hampir keseluruhan pelatih yang mengikuti kursus di IKBN adalah yang berkelulusan kurang cemerlang atau memuaskan dalam pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Apa yang paling membanggakan, pelatih IKBN mendapat permintaan yang amat tinggi daripada pelbagai syarikat swasta terkemuka di seluruh negara. Malah, sebilangan besar sudah menempah mereka untuk bekerja di syarikat masing-masing, sebaik menamatkan latihan kemahiran di institut kemahiran itu. Ini menunjukkan pelajar yang dilatih di IKBN berkualiti. Pencapaian yang teruk dalam pelajaran tidak menyekat kemajuan seseorang itu untuk maju dalam kerjaya mereka.

IKBN menekankan aspek bina insan, kepimpinan, keusahawanan & jati diri sebagai bekalan mereka untuk menempuh alam pekerjaan. Mereka juga diajar supaya lebih cekal menghadapi cabaran & lebih berdisiplin sebaik menamatkan latihan di sini dengan hanya berbekalkan sijil di IKBN. IKBN mengutamakan kemahiran diri selain kelulusan dalam pelajaran. Semua kursus yang disediakan juga menyediakan pelajar kepada latihan kemahiran & vokasional dalam bidang tertentu mengikut minat masing-masing. Serentak itu, peranan Bahagian Kemahiran untuk menyediakan peluang kemahiran & melatih seramai mungkin belia dalam pelbagai bidang kemahiran melalui pelbagai pendekatan sama ada secara jangka panjang atau jangka pendek. Daripada 42 kursus yang disediakan, 5 kursus yang paling popular iaitu Teknologi Kejuruteraan - Kereta, Pendawaian Elektrik, Jahitan Pakaian Wanita, Penyediaan Makanan, & Teknologi Kimpalan. Kementerian Belia dan Sukan juga menyediakan peruntukan tertentu untuk memberi kelas malam kepada pelatih bagi meingkatkan pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan & kemahiran. Selain itu, IKBN menyediakan kursus jangka pendek & kursus hujung minggu dengan jumlah keseluruhannya, seramai 104,960 (kursus jangka pendek) & 3,152 (kursus hujung minggu). Bagi memenuhi pasaran global, IKBN juga melengkapkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta bahasa Inggreris.
Enhanced by Zemanta
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...