30 April 2008

Kaedah membangunkan blog sendiri

Blog adalah istilah terkini yang diperkenalkan dalam dunia web bagi membolehkan pemiliknya menulis serta mengetengahkan pelbagai perkara, termasuk maklumat harian pemilik, pengalaman serta isu yang berlaku di dunia ketika ini. Ia yang juga singkatan bagi 'weblog' atau laman web peribadi itu membolehkan orang ramai untuk menyuarakan pendapat mereka tanpa perlu bimbang sekatan daripada kerajaan.

Kali ini anda akan diketengahkan kaedah membangunkan blog pengguna sendiri. Bagi blog yang dimiliki Google, ia dilengkapi aspek pembelajaran antaramuka yang mudah untuk dipelajari atau difahami. Kepada pengguna internet yang baru berhasrat membangunkan blog sendiri, mereka perlu melayari laman web http://www.blogger.com/ untuk peringkat permulaan. Di laman utamanya, anda pasti dapat melihat senarai nama blog yang dikemaskini yang turut dilengkapi rangkaian aktiviti semasa yang berlaku dalam talian.

Sebagai permulaan, untuk membangunkan blog sendiri, anda perlu memilih butang membangunkan blog sendiri (Create Your Blog Now). Bagi membolehkan aspek pembangunan blog berjalan lancar, pengguna perlu memiliki akaun Google yang akan membolehkan pemiliknya menggunakan pelbagai perkhidmatan Google. Kemudian, anda perlu memilih nama yang hendak dipaparkan pada paparan utama blog itu yang kemudian akan disusuli dengan panduan arahan seterusnya. Apabila tajuk blog anda sudah dipilih, langkah seterusnya membabitkan penetapan alamat web pemilik bagi blog masing-masing yang boleh dipilih daripada rangkaian yang disediakan. Contoh alamat penuh blog pemilik adalah seperti http://(nama blog).blogspot.com/ yang akan ditempatkan dalam dunia virtual.

Apabila langkah membangunkan blog diikuti, pemilik boleh melihat sendiri hasilnya termasuk pesanan terkini yang dimasukkan dalam blog masing-masing. Blog adalah perantaraan terkini bagi membolehkan pengguna dunia web berkongsi pengetahuan. Bagi memastikan paparan teknologi terkini itu dapat memberikan faedah kepada penggunanya, pemilik blog disaran untuk hanya mengetengahkan kandungan web yang boleh membangunkan minda masyarakat bukan sebaliknya.
Enhanced by Zemanta

Menyimpan lebih baik daripada meminjam

Apa juga keputusan anda, sama ada menerima, menolak ataupun tidak kisah, anda sebenarnya sudah membuat keputusan. Begitu juga dengan maklumat yang disebarkan, anda boleh menerima atau menolaknya kerana anda berhak mencabar sebarang maklumat yang difikirkan kurang bersesuaian ataupun tidak selari dengan nada pemikiran anda. Tindakan anda itu sesuatu yang harus dipuji kerana dalam dunia maklumat tanpa sempadan, anda perlu bijak menyaring maklumat & tidak menerimanya bulat-bulat. Dalam erti kata lain, tidak mudah percaya apa yang didengar, dilihat & dibaca kecuali penjelasannya jelas & boleh diterima akal. Apa pun reaksi anda, ini menandakan ramai yang sudah celik pelaburan & membuat perancangan sendiri mengenai tabungan ataupun simpanan masing-masing.

Sama ada mereka membuat pinjaman bagi memastikan adanya 'disiplin paksa' yang akan terus mengikat mereka untuk menyimpan ataupun menyimpannya sendiri secara sedikit demi sedikit setiap bulan dengan harapan ia akan berkembang dalam suatu tempoh tertentu, ia satu perkembangan baik. Tidak dinafikan ramai yang membuat pinjaman untuk membuat pelaburan kerana dengan cara itu mereka mempunyai modal pelaburan yang besar dibandingkan jika mereka menyimpan sedikit demi sedikit. Jika modal permulaan besar, sudah tentu pulangannya besar, misalnya anda membuat pinjaman RM100,000 untuk dilaburkan dalam mana-mana saham amanah. Jika pulangan tahunannya adalah 10% & dilabur selama 5 tahun, pelaburan anda itu akan berkembang hampir RM420,000. Jumlah ini dikira secara kumulatif di mana pulangan tahunan itu dilaburkan semula.

Jika anda menyimpan sendiri, anda hanya perlu menabung RM1,000 sebulan selama 15 tahun dalam instrumen pelaburan yang memberi pulangan sama. Manfaatnya, anda tidak terikat dengan mana-mana institusi kewangan yang memberikan pinjaman & sekiranya berlaku kegawatan ekonomi yang menyebabkan anda tidak mampu membuat pembayaran balik, wang anda tidak hangus begitu saja sekiranya pelaburan anda itu dijual semula. Risikonya apabila anda membuat pinjaman adalah sekiranya anda tidak mampu membayar balik pinjaman terutama apabila jumlah pinjaman anda itu besar. Pada beberapa tahun pertama, bayaran pinjaman anda itu hanya untuk servis kadar faedah sedangkan pinjaman pokok masih lagi belum terusik. Sebagai pelanggan, anda memberi perniagaan kepada institusi, tetapi pelaburan itu masih lagi bukan hak mutlak anda.

Satu perkara yang perlu diingat, selagi belum melangsaikan pinjaman, pelaburan itu walaupun menggunakan nama anda masih lagi milik institusi kewangan. Mungkin ada institusi kewangan yang membolehkan anda mengeluarkan dividen ataupun bonus tetapi apa kata berlaku kegawatan yang menyebabkan anda tidak mampu membayar semula? Institusi kewangan akan menjual semula pelaburan anda itu & ada kemungkinan anda hanya mendapat sebahagian saja jumlah pembayaran bulanan anda itu. Satu lagi yang perlu anda pertimbangkan adalah kadar pulangan yang mampu dijana oleh pelaburan, juga kadar asas pinjaman secara keseluruhan. Sekiranya kadar asas pinjaman & kadar faedah dikenakan keseluruhannya 6.75% & pelaburan anda itu pula memberikan pulangan 10%, anda masih lagi mendapat sedikit keuntungan.

Dengan nilai pelaburan sama RM100,000 selama 15 tahun dengan kadar pinjaman (kadar pinjaman asas + kadar faedah semasa) jumlah pembayaran semula yang perlu anda lunaskan pada institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM266,000. Jika pelaburan anda itu memberi pulangan 10% setahun, untung bersih anda adalah RM154,000. Untuk mendapat pulangan pelaburan RM420,000 dengan kadar pulangan 10% setahun, anda hanya perlukan modal pelaburan awal RM100,000 yang dilaburkan selama 15 tahun. Bagi yang ingin menyimpan secara bulanan pula hanya RM1,000 saja diperlukan. Fikirkanlah yang mana lebih menguntungkan!

Panduan penggunaan berus gigi

-Kebanyakan doktor gigi mencadangkan supaya berus gigi ditukar setiap 3 bulan.
-Kajian menunjukkan selepas 3 bulan digunakan, berus gigi akan kurang berkesan dalam membuang plak daripada gigi & gusi.
-Berus akan mengalami masalah seperti pecah & bengkok, sekaligus menyebabkan sukar mencapai bahagian dalam & celah gigi. Ia mungkin boleh mencederakan gusi.
-Tukar berus gigi apabila mengalami selsema, jangkitan mulut atau sakit kerongkong kerana kuman boleh bersembunyi pada berus gigi & menyebabkan jangkitan semula.
-Jika anda mempunyai penyakit gusi, tukar berus gigi setiap 4-6 minggu kerana bakteria akan membiak pada berus gigi.

Siswazah perlu belajar berdikari

Siswazah tidak harus mengharapkan kerja makan gaji atau menjadi eksekutif semata-mata apabila tamat pengajian, sebaliknya perlu mencuba bidang lain, selain sentiasa memantapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan. Hal ini kerana banyak peluang pekerjaan untuk siswazah sebenarnya. Siswazah juga seharusnya mengamalkan sikap proaktif bagi meneroka peluang atau menyertai program yang dijalankan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi kemahiran. Sebagai contoh, Takaful Nasional pernah menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Pelajar Universiti/Kolej (Pupuk) yang direka khas untuk graduan memahirkan diri dalam bidang berkenaan.

Program itu antara lain bertujuan menggalak, membimbing, melatih & membantu graduan menyertai industri perancangan kewangan, khususnya takaful secara aktif. Program 2 tahun ini berdasarkan kaedah 'fast track learning cum training', iaitu latihan sambil kerja untuk mendedahkan graduan dengan pengalaman baharu. Kaedah ini dapat mengubah tanggapan salah di kalangan graduan mengenai dunia pekerjaan. Selama ini mereka meletak harapan tinggi dapat kerja baik di tempat selesa & bergaji tinggi selepas tamat belajar. Mereka seharusnya ingat bahawa senario pekerjaan kini sudah berubah kerana ia didorong oleh prestasi. Oleh itu, aspek yang penting sekarang bukan ilmu, tetapi pelaksanaan atau kompetensi.

Graduan harus menyedari bahawa mereka juga perlu menyertai alam pekerjaan seperti orang lain, iaitu bermula dari bawah. Bagaimanapun, kerana mempunyai ilmu & kemahiran berfikir yang sistematik, mereka sudah tentu dapat 'memanjat' tangga kerjaya dengan pantas berbanding pekerja tiada kelulusan. Memulakan sesuatu pekerjaan dari bawah baik kerana mereka akan terdedah dengan pelbagai keadaan & situasi pada peringkat akar umbi. Justeru, mereka mudah mengenal pasti punca sesuatu masalah kerja. Pendedahan sebeginilah yang menjadikan graduan itu peka terhadap permasalahan kerja & mengatasinya dengan memanipulasikan ilmu dimiliki secara berkesan.

14 April 2008

Kaedah menonton video dalam talian

Menonton video dalam era ini tidak hanya terhad menerusi penggunaan kelengkapan digital televisyen saja, khususnya dengan kelahiran pelbagai kelengkapan paparan digital lain mampu menawarkan aspek penyampaian menyamai atau mendahului sistem sebelumnya. Antara kelengkapan teknologi maklumat (IT) lain yang dimaksudkan adalah penggunaan sistem komputer yang mampu menawarkan sistem sambungan bertenaga pada prestasi penyampaian yang mengasyikkan.

Keberkesanan sistem penyampaian menerusi perisian cakera padat (CD) & DVD itu sudah mengalami evolusi teknologi yang memberangsangkan apabila ia memberi peluang kepada pengguna Internet menikmati siri video pilihan dalam paparan web. Video web yang ditawarkan pula terdiri daripada rangkaian video muzik, wayang, klip permainan elektronik, filem pendek, ceramah, temubual khas termasuk perlawanan bola sepak membabitkan pasukan pilihan. Ia menjadi semakin popular apabila disokong dengan sistem sambungan jalur lebar yang mampu menampung kapasiti saiz fail video yang besar untuk tempoh pemindahan pendek. Video dalam talian boleh ditonton pada laman web menerusi sambungan jalur lebar (broadband) bagi proses yang dikenali sebagai aliran (streaming), iaitu kaedah teknologi yang membenarkan pengguna untuk menonton video & pada masa sama data dipindah ke komputer peribadi (PC) tanpa disedari.

Bagaimanapun, sekiranya pelayar video dalam talian ditutup, ia tidak akan disimpan di dalam PC & memerlukan pengguna untuk memulakan proses muat turun semula. Berbeza dengan proses muat turun video, pengguna perlu menunggu sehingga failnya dipindahkan sepenuhnya ke dalam PC sebelum anda berpeluang untuk menonton video lengkap itu. Perlu diingat proses muat turun fail video sering dikenakan bayaran & ada di kalangan pembekal fail itu menghadkan tempoh masa tontonan dalam usaha menjana keuntungan. Sekiranya anda masih keliru kaedah penyampaian menerusi web, contoh terbaik yang dapat dilihat adalah menerusi aplikasi YouTube yang semakin popular di kalangan pelayar Internet era ini. Platform YouTube itu dibangunkan pada asas pemain Flash dengan membolehkan anda menonton video yang dimiliki pihak lain di samping berpeluang untuk berkongsi video sendiri.

Pemilihan fail video YouTube pula dibahagikan kepada kategori komedi, hiburan & muzik yang boleh digunakan untuk mencari fail tertentu yang disimpan di kalangan ahli komuniti perkongsian fail video itu. Malah, pembangunan platform yang dilengkapi arkib bertenaga itu membolehkan pengguna untuk menonton jaringan perlawanan bola sepak pada kualiti paparan yang bertenaga. Perkembangan teknologi global ketika ini tidak menghadkan sistem penyampaian yang hanya tertumpu kepada program YouTube kerana pelbagai platform video turut dibangunkan pentadbir laman web untuk pengguna seumpamanya. Antara fail video yang boleh ditonton pada aplikasi video web termasuk .avi, .mov, .wmv, .mpg, & .mpeg. Kepada pengguna video web yang bertanggungjawab, anda turut disaran untuk berkongsi kandungan fail video dalam memastikan kesinambungan laluan baru itu diperkembangkan.

Insurans perlu dalam perancangan kewangan

Semua orang yang memiliki kenderaan tahu tentang insurans kerana ianya wajib bagi semua kenderaan & menjadi kesalahan jika kenderaan digunakan tanpa insurans. Bagaimanapun masih ramai yang tidak begitu mengetahui tentang produk insurans lain seperti insuran hayat (kematian), kemalangan, rawatan penyakit kritikal, hilang upaya kekal, hartanah & lain-lain. Suatu ketika dahulu orang Islam menjauhi produk insurans kerana ia difatwakan haram. Mereka menubuhkan syarikat khairat kebajikan sebagai organisasi untuk membantu ahli apabila berlaku kematian, kemalangan atau untuk membantu ahli menganjurkan majlis kenduri kahwin & sebagainya.

Bagaimanapun, sekarang terdapat produk insurans takaful yang konsep & operasinya selaras dengan syariat Islam & diterima oleh Majlis Fatwa Agama Islam. Konsep asasnya ialah wang bayaran premium yang dipecahkan kepada 2 iaitu wang pelaburan & tabaruk (derma ikhlas bertujuan kebajikan). Peruntukan tabaruk adalah sumbangan ahli kepada ahli yang ditimpa kemalangan melalui konsep tolong-menolong sesama ahli. Sementara wang pelaburan adalah milik pembeli insurans & akan dipulangkan bersama keuntungan pelaburan apabila sampai tempoh matang. Dengan adanya insurans takaful yang mematuhi kehendak syariah, pembelian insurans di kalangan orang Islam meningkat tetapi kadarnya masih rendah berbanding dengan kaum lain.

Isu penting yang perlu difikirkan ialah apakah kita perlu membeli insurans perlindungan. Terdapat pelbagai produk insurans yang menawarkan pelbagai jenis perlindungan seperti perlindungan kebakaran, kemalangan, perubatan, kematian, kecurian & sebagainya. Melalui pembelian insurans takaful, wang tabarruk yang anda kumpulkan bersama orang lain untuk membantu mereka yang malang & jika anda ditimpa kemalangan maka wang tabarruk itu akan diberikan kepada anda atau tanggungan anda. Katakan anda ada membeli takaful manfaat kematian sebanyak RM50,000 & ditakdirkan anda meninggal dunia maka tanggungan anda (anak, isteri atau ibu yang sudah tua yang anda namakan) akan mendapat wang tabarruk untuk membantu menyara hidup mereka. Ini adalah sesuai dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w.: "Tinggalkan anak dan isteri dengan kesenangan adalah lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta," hadis riwayat Imam Bukhari.

Panduan memilih jam

-Jika anda tinggi, jam berukuran besar lebih baik & begitulah sebaliknya.
-Jam berwarna hitam atau berpermukaan gelap akan tampak kecil daripada saiznya yang sebenar manakala yang berwarna cerah menunjukkan saiz sebenar.
-Jika pergelangan tangan kecil, memakai jam yang mempunyai diameter besar boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa dalam tempoh jangka panjang & membuatkan pergelangan tangan semakin kecil.
-Wanita yang tinggi atau mempunyai rangka badan besar, lebih sesuai memakai jam tangan diameter besar malah sesuai untuk menggayakan jam tangan model lelaki.
-Jam tangan diamater menyerlahkan karektor gaya sukan & tampak elok dipakai pada pergelangan tangan sesuai. Tetapi pemakaian jam seumpama itu tidak sesuai digandingkan dengan pakaian gaun petang & jaket.
-Jika anda memerlukan jam yang mudah dilihat, diameter besar lebih praktikal.

Belia berpeluang dalami ilmu pengurusan ladang

Belia negara ini terutama lepasan SPM berpeluang meningkatkan kemahiran diri dalam pelbagai bidang selaras tuntutan masa kini yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir & separuh mahir. Justeru, bagi menambah ilmu kemahiran belia, MPOB (Malaysian Palm Oil Board), sebuah agensi di bawah Kementerian Perusahaan, Perladangan & Komoditi memperkenalkan kursus Operator Mekanikal Ladang yang memberi mereka peluang mempelajari kemahiran dalam bidang pengurusan & kejenteraan ladang. Kursus seumpama ini diharap minat anak watan terhadap sektor perladangan akan meningkat sekaligus dapat mengurangkan penggunaan buruh asing. Golongan sasaran ialah anak peneroka & pekebun sawit yang mempunyai minat & kecenderungan dan seterusnya memberi kesinambungan terhadap usaha keluarga dalam sektor berkenaan. Bagi memberi keselesaan kepada peserta serta kelancaran kursus, MPOB melalui Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) - Mekanisasi Ladang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi bengkel jentera yang dilengkapi peralatan kimpalan & melarik, makmal komputer, bilik kuliah serta kemudahan lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Pada masa ini Plasma Mekanisasi Ladang menyediakan 2 pilihan program iaitu program jangka panjang & program jangka pendek. Program jangka panjang berlangsung selama 4 bulan yang merangkumi kelas teori, amali & latihan praktikal, manakala program jangka pendek dikhaskan kepada individu yang berminat menambah ilmu dalam sesuatu bidang kemahiran boleh memilih modul yang disediakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...