14 April 2008

Belia berpeluang dalami ilmu pengurusan ladang

Belia negara ini terutama lepasan SPM berpeluang meningkatkan kemahiran diri dalam pelbagai bidang selaras tuntutan masa kini yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir & separuh mahir. Justeru, bagi menambah ilmu kemahiran belia, MPOB (Malaysian Palm Oil Board), sebuah agensi di bawah Kementerian Perusahaan, Perladangan & Komoditi memperkenalkan kursus Operator Mekanikal Ladang yang memberi mereka peluang mempelajari kemahiran dalam bidang pengurusan & kejenteraan ladang. Kursus seumpama ini diharap minat anak watan terhadap sektor perladangan akan meningkat sekaligus dapat mengurangkan penggunaan buruh asing. Golongan sasaran ialah anak peneroka & pekebun sawit yang mempunyai minat & kecenderungan dan seterusnya memberi kesinambungan terhadap usaha keluarga dalam sektor berkenaan. Bagi memberi keselesaan kepada peserta serta kelancaran kursus, MPOB melalui Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) - Mekanisasi Ladang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi bengkel jentera yang dilengkapi peralatan kimpalan & melarik, makmal komputer, bilik kuliah serta kemudahan lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Pada masa ini Plasma Mekanisasi Ladang menyediakan 2 pilihan program iaitu program jangka panjang & program jangka pendek. Program jangka panjang berlangsung selama 4 bulan yang merangkumi kelas teori, amali & latihan praktikal, manakala program jangka pendek dikhaskan kepada individu yang berminat menambah ilmu dalam sesuatu bidang kemahiran boleh memilih modul yang disediakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...