30 April 2008

Siswazah perlu belajar berdikari

Siswazah tidak harus mengharapkan kerja makan gaji atau menjadi eksekutif semata-mata apabila tamat pengajian, sebaliknya perlu mencuba bidang lain, selain sentiasa memantapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan. Hal ini kerana banyak peluang pekerjaan untuk siswazah sebenarnya. Siswazah juga seharusnya mengamalkan sikap proaktif bagi meneroka peluang atau menyertai program yang dijalankan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi kemahiran. Sebagai contoh, Takaful Nasional pernah menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Pelajar Universiti/Kolej (Pupuk) yang direka khas untuk graduan memahirkan diri dalam bidang berkenaan.

Program itu antara lain bertujuan menggalak, membimbing, melatih & membantu graduan menyertai industri perancangan kewangan, khususnya takaful secara aktif. Program 2 tahun ini berdasarkan kaedah 'fast track learning cum training', iaitu latihan sambil kerja untuk mendedahkan graduan dengan pengalaman baharu. Kaedah ini dapat mengubah tanggapan salah di kalangan graduan mengenai dunia pekerjaan. Selama ini mereka meletak harapan tinggi dapat kerja baik di tempat selesa & bergaji tinggi selepas tamat belajar. Mereka seharusnya ingat bahawa senario pekerjaan kini sudah berubah kerana ia didorong oleh prestasi. Oleh itu, aspek yang penting sekarang bukan ilmu, tetapi pelaksanaan atau kompetensi.

Graduan harus menyedari bahawa mereka juga perlu menyertai alam pekerjaan seperti orang lain, iaitu bermula dari bawah. Bagaimanapun, kerana mempunyai ilmu & kemahiran berfikir yang sistematik, mereka sudah tentu dapat 'memanjat' tangga kerjaya dengan pantas berbanding pekerja tiada kelulusan. Memulakan sesuatu pekerjaan dari bawah baik kerana mereka akan terdedah dengan pelbagai keadaan & situasi pada peringkat akar umbi. Justeru, mereka mudah mengenal pasti punca sesuatu masalah kerja. Pendedahan sebeginilah yang menjadikan graduan itu peka terhadap permasalahan kerja & mengatasinya dengan memanipulasikan ilmu dimiliki secara berkesan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...