29 November 2012

Tips Tanam Petola

Persediaan tanah 

  • Petola segi akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.
  • Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sm untuk memudahkan pertumbuhan akar.
  • Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 1-1.2 meter,tinggi batas antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.
  • Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi, bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.


Penanaman

  • Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan.
  • Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.
  • Jika ditanam terus, gali lubang sedalam satu hingga dua sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.
  • Kadar biji benih yang diperlukan ialah lima kg/hektar.
  • Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat, tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.
  • Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah.


Pemangkasan

  • Pemangkasan dilakukan dengan mencantas dahan sisi dan pucuk terutama cabang sisi yang tumbuh 30 sm dari paras tanah, ia bagi menggalakkan pertumbuhan batang utama supaya cepat memanjat "trelis"/junjung yang disediakan dan memperbaiki pengudaraan tanaman, mengurangkan pertumbuhan vegetatif dan menggalak pengeluaran buah.


Penyediaan junjung

  • Petola segi memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.
  • Sistem trelis boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu beruti berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak 3 meter.
  • Kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai dibahagian atas dan bahagian bawah antara antara 20 dan 30sm dari permukaan tanah batas.
  • Tali rafia diikat antara dua dawai halus bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu.


Pengairan

  • Pokok petola segi memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.
  • Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.
  • Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.


Pengawalan rumpai

  • Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu sama ada secara manual atau secara kimia ia dilakukan dua atau tiga bulan sekali, elakkan semburan pada tanaman.


Pembajaan

  • Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di satu satu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .
  • Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.
  • Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga.  


Kawalan perosak dan penyakit

  • Serangga yang biasa menyerang petola segi ialah lalat buah (Dacus sp), serangan pada buah yang menyebabkan buah berlubang dan busuk, buah muda yang diserang menjadi teruk dan berubah bentuk dan terbantut, pastikan buah petola dibungkus dan musnahkan buah yang diserang perosak.
  • Serangan kumbang daun (Aulacophora sp) pada bahagian akar dan daun oleh kumbang dewasa dan larva kumbang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman, gunakan racun yang sesuai sebagai kawalan
  • Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.
  • Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat  yang sesuai.
  • Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun, terdapat bintik berbentuk bersiku siku, berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.
  • Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.


Penuaian

  • Petola segi boleh dituai antara enam dan tujuh minggu selepas penanaman.
  • Tuaian hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara antara 50 dan 60 hari.
  • Anggaran hasil ialah 12-20 tan/hektar. Tangkai buah dipotong 1.5 sm dari tangkai buah, ia digred mengikut saiz, kesegaran dan tahap serangan penyakit serta serangga. Petola segi tahan selama tiga hari tanpa menjejaskan kualiti jika disimpan pada suhu ambian.
  • Pada suhu 15 dan kelembapan kira-kira 95 peratus tahan disimpan selama dua minggu.

- UMO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...