19 Ogos 2007

Microsoft Tech.Ed di Kuala Lumpur


Persidangan tahunan terbesar anjuran Microsoft, Tech.Ed Southeast Asia 2007 kembali ke Kuala Lumpur, September ini untuk menjadi platform pembelajaran dan latihan kepada lebih 2000 peserta terdiri dari usahawan tekno, pentadbir IT, pembangun perisian dan arkitek perisian dari seluruh rantau ini. Edisi kali ini dengan tema “Turn doing your job into making your mark” mensasarkan untuk menajamkan tumpuan kepada teras dan kemahiran pemprograman IT kritikal yang membolehkan pembangun mendapat latihan teknikal, maklumat serta sumber-sumber yang dapat membantu mereka dalam usaha membina, mengguna, mendapatkan, bersedia dan merumuskan pengurusan.


Tech.Ed terus diiktiraf oleh rakan perniagaan sebagai persidangan utama dalam industri yang bukan sekadar memperkenalkan perisian serta teknologi Microsoft, malah bakal mencipta gelombang baru dalam agenda teknologi. Tech.Ed kembali ke
Malaysia disebabkan pertumbuhan ekonomi berasaskan perisian yang amat memberangsangkan di sini. Rangkaian rakan niaga Microsoft Malaysia adalah yang terbesar dalam industri, dengan lebih 5000 rakan niaga dan 800 vendor pembangun perisian bebas (ISV) yang sudah pun menghasilkan produk bagi memenuhi keperluan IT serta perniagaan kepada beribu-ribu organisasi di Malaysia dan di rantau ini. Tech.Ed SEA 2007 kali ini lebih banyak menumpukan kepada teknologi dan penggunaan Windows Server 2008 yang sebelum ini dikenali dengan nama kod “Longhorn”.

Peserta tahun ini lebih beruntung kerana berpeluang mendengar sendiri pengalaman penceramah yang didatangkan terus dari Microsoft Corp iaitu individu serta pakar teknologi yang berkait rapat dengan pembangunan teknologi terkini. Tech.Ed SEA 2007 akan berlangsung pada 10 hingga 13 September 2007 di P
usat Konvensyen Kuala Lumpur. Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh diperoleh di http://www.microsoft.com/malaysia/techedsea2007.

19 Julai 2007

Pembinaan kapasiti kemahiran resepi kejayaan individu

Penguasaan ilmu lazimnya bergerak seiring pembangunan ekonomi. Peningkatan ekonomi pula hanya akan bermakna apabila ia meningkatkan mutu kehidupan individu, masyarakat & negara. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, mutu & taraf hidup rakyat negara ini sudah meningkat. Pelbagai kemajuan dicapai dalam semua aspek seperti peningkatan pendapatan per kapita, pelajaran, kemahiran teknikal, kesihatan, purata jangka hayat umur, pemilikan aset serta keagamaan, budaya, sukan, rekreasi & sosial.

Isu penting yang perlu difikirkan ialah bagaimanakah peningkatan positif boleh diteruskan sementara yang negatif dibendung. Antara asas penting ialah usaha memperkaya & mempertajamkan minda setiap individu dengan ilmu yang bermanfaat disamping mampu membentuk perwatakan cemerlang. Kekuatan ilmu, kemahiran teknikal & perwatakan positif seperti berani, rajin & amanah adalah asas kepada kejayaan bangsa yang berjaya di dunia ini.

Negara Jepun yang tidak memiliki kekayaan sumber alam semula jadi begitu berjaya kerana kekuatan minda & kemahiran teknikal dan kekuatan perwatakan. Justeru, setiap rakyat Malaysia perlu berusaha supaya kapasiti minda & kemahiran teknikal dipertingkatkan supaya kita juga dapat menawarkan produk & perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat dunia & melaluinya kita boleh menikmati kemakmuran. Sistem & prasarana untuk pembangunan ilmu & kemahiran teknikal di negara kita sudah cukup baik.


Apa yang diperlukan ialah kesedaran, kesungguhan & sedia berkorban masa, tenaga & wang ringgit untuk mewujudkan tambah nilai kepada modal insan sedia ada. Umumnya usaha pelaburan modal insan ini tidak memberi pulangan segera tetapi ia menjanjikan pulangan lumayan pada jangka panjang. Rakyat negara ini sungguh bernasib baik kerana kerajaan melalui rancangan pembangunan 5 tahun yang silih berganti sejak merdeka sentiasa mementingkan pembangunan sumber manusia dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat tertinggi.

Namun, pembinaan perwatakan cemerlang rakyat Malaysia perlu dimulakan oleh ibu bapa semasa anak-anak masih kecil di rumah lagi melalui didikan & penerapan nilai mulia, diikuti dengan penghayatan & pembudayaan watak itu di sekolah, seterusnya pengukuhan amalan kerja mulia di tempat kerja. Gabungan antara keupayaan minda & kemahiran teknikal yang tinggi dengan perwatakan cemerlang sudah tentu adalah resipi kejayaan untuk individu mahupun untuk negara.

Perwatakan rajin, gigih & sedia untuk belajar yang dipamerkan kumpulan pendatang & pekerja asing di negara ini telah membolehkan mereka memperoleh pendapatan memuaskan. Rumusannya, pembinaan kapasiti kebolehan & kemahiran individu yang diasaskan pada perwatakan cemerlang adalah resipi untuk seseorang itu maju & berjaya.

22 Jun 2007

Bagaimana menyediakan resume yang berkesan?

Resume yang juga dikenali sebagai 'curriculum vitae' (cv) merupakan penggambaran mengenai kemahiran, pengalaman, pengetahuan, pendidikan serta pencapaian yang melayakkan anda untuk sesuatu pekerjaan. Sesuatu resume yang baik selain dari memberi maklumat peribadi juga memujuk sesesorang majikan bahawa anda mempunyai kemahiran, sikap, kelayakan atau sifat-sifat yang istimewa bagi mendapat temu duga peribadi. Perlu diingatkan resume merupakan suatu alat pemasaran yang boleh membantu anda mendapat peluang temu duga.

Sesuatu resume yang berkesan perlu singkat, tidak lebih daripada tiga halaman. Oleh kerana resume ialah alat utama dalam mencari kerja yang lebih baik, ianya perlu disediakan dengan teliti. Semua resume harus tepat dan jujur dan hendaklah memberi fokus kepada kehendak sesuatu kerja dan menyampaikan maklumat yang relevan bagi kerja yang dipohon. Ini membolehkan majikan untuk menilai secara objektif kesesuaian anda bagi kerja yang diiklankan.


Sesuatu resume yang efektif perlu mengandungi maklumat peribadi (seperti nama, tarikh dan tempat lahir, taraf perkahwinan, kerakyatan, alamat, no. telefon, e-mail, dll) dalam bahagian pertama. Bahagian kedua perlu memberi maklumat tentang kelayakan akademik (mulai dengan sekolah menengah, kolej, universiti, dll). Di sini maklumat terperinci mengenai diploma dan ijazah serta kursus yang diikuti sepanjang tempoh pendidikan dan gred serta anugerah yang diperolehi serta penyertaan dalam aktiviti luar kurikulum perlu diterangkan. Ini harus diikuti dengan pengalaman kerja dalam bahagian ketiga. Di sini anda perlu mula dengan maklumat mengenai kerja terkini dan diakhiri dengan kerja lama. Senaraikan semua kerja yang dibuat dengan memberi semua maklumat tentang tugas serta tanggungjawab dan tempoh setiap jawatan yang dipegang. Keterangan mengenai latihan dalam perkhidmatan dan kursus yang diikuti juga perlu diberikan. Kemahiran yang diperolehi dalam sesuatu bidang kerja adalah juga amat penting.

Dalam bahagian terakhir, maklumat tentang rujukan (reference) perlu diberi bagi memudahkan majikan mendapat sokongan serta penilaian daripada bekas majikan / pihak institusi anda. Dicadangkan supaya anda memberi maklumat tentang dua orang bekas majikan dan dua orang daripada institusi pengajian tinggi anda. Tentukan nama, jawatan, alamat penuh, no. telefon dan alamat e-mail mereka diberikan.

09 Jun 2007

Lahirnya Ubuntu Muslim Edition

UbuntuME adalah singkatan dari Ubuntu Muslim Edition. Ubuntu Muslim Edition adalah software bebas (free), satu sistem operasi sumber terbuka (open source OS) yang berasaskan distribusi (distro) popular Ubuntu Linux.

Apakah keistimewaan Ubuntu Muslim Edition ini? Ia adalah satu-satu sistem operasi di dunia yang mengintegrasikan perisian Islam seperti waktu solat, Al-Quran, penapisan kandungan internet dan lain-lain. Edisi istimewa Ubuntu ini begitu unik dengan pembaikan antaramuka pengguna grafik (GUI - graphical user interface), skrin permulaan yang kemas, log masuk GDM (Gnome Display Manager), kertas dinding (wallpaper) berunsurkan Islam dan senarai 'bookmark'Firefox untuk komuniti Muslim.

Apa itu Ubuntu?

luogoUbuntu adalah distribusi Linux yang popular saat ini, direkabentuk dengan tujuan untuk menggantikan Microsoft Windows sebagai sistem operasi yang paling banyak digunakan di dunia.

Ubuntu dibangunkan dari komponen yang keseluruhannya bersifat "open source", dengan modifikasi utama untuk kemudahan penggunaan dan menghijrahkan pengguna komputer yang telah terbiasa menggunakan Microsoft Windows, sebagaimana boleh dilihat disini. Nama Ubuntu berasal dari Bahasa Zulu yang berarti kemanusiaan, yang telah meresap kedalam budaya masyarakat Afrika Selatan sebagai “penghargaan bagi setiap individu”.

Apa itu Ubuntu Muslim Edition?

Ubuntu Muslim Edition adalah kumpulan program yang memberi ciri Islamik bagi distribusi Ubuntu dengan menambahkan perisian Islami (jadual solat, program pembelajaran Alquran, penapisan kandungan internet, dll.) disamping mengubah penampilannya agar lebih tampak Islamik.

02 Jun 2007

Belajar Bahasa Jawa (1)

Mengenal Angka (Nombor)

Jawa - Melayu


Siji - Satu
Loro - Dua
Telu - Tiga
Papat - Empat
Limo - Lima
Nem - Enam
Pitu - Tujuh
Wolu - Lapan
Songo - Sembilan
Sepuluh - Sepuluh
Sewelas - Sebelas
Rolas - Dua belas
Telulas - Tiga belas
Rongpuluh - Dua puluh
Limangpuluh - Lima puluh
Satus - Seratus
Sewu - Seribu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...