BIOS merupakan akronim (singkatan) kepada perkataan Basic Input Output System (Sistem Input Output Asas). Ia bertindak sebagai satu program yang akan menjalankan beberapa rutin seperti mengesan perkakasan (hardware) dan seterusnya memeriksa aturan perkakasan dalam komputer anda (seperti papan kekunci (keyboard) dan tetikus (mouse)) atau adakah perkakasan komputer anda berada dalam keadaan baik dan berfungsi sebelum memulakan sistem operasi (OS), contohnya Windows. Tugas memulakan sistem operasi Windows juga sebenarnya dilaksanakan oleh program BIOS ini.
Tidak seperti sistem operasi di mana ia disimpan di dalam cakera keras (hard disk), program BIOS disimpan dalam satu cip ingatan (memory chip) pada papan induk (motherboard) yang dikenali sebagai Flash Memory atau Flash BIOS (kerana ia meyimpan program BIOS). BIOS sebenarnya bertindak sebagai sebuah program khas yang membolehkan perkakasan komputer berinteraksi antara satu sama lain sebaik sahaja komputer dihidupkan.
Sistem komputer dikawal oleh Unit Pemprosesan Pusat (CPU - Central Processing Unit). Tetapi sebaik sahaja komputer dihidupkan, CPU perlu menerima arahan (arahan dalam sistem komputer diberi dalam bentuk program) sebelum dapat melaksanakan tugasnya mengawal sistem dan berinteraksi dengan perkakasan. Maka program BIOSlah yang memberikan arahan pertama pada CPU. Dengan kata lain, BIOS memberitahu CPU apa yang perlu dilakukan seperti memeriksa kesemua perkakasan dalam sistem berfungsi dengan baik, memeriksa kehadiran papan kekunci, tetikus, port bersiri (serial port), port selari (parallel port), USB dan sebagainya. Program BIOS dilaksanakan (load) secara automatik dari cip Flash BIOS sebaik sahaja suis komputer dihidupkan.
Program BIOS ditulis menggunakan bahasa pengaturacaraan yang dikenali sebagai bahasa aras rendah (low level language). Bahasa aras rendah adalah berbeza dengan bahasa pengaturcaraan yang digunakan untuk membuat permainan permainan (games), aplikasi pejabat, virus dan sebagainya seperti C++, Visual Basic .NET dan lain-lain bahasa pengaturcaraan aras tinggi (high level language programming). Dalam bahasa aras rendah, pengaturara memberi arahan secara terus kepada sesuatu perkakasan, seolah-olah 'bercakap’ kepada perkakasan untuk melakukan sesuatu tugas. Bahasa pengaturcaraan yang digunakan BIOS pada kebiasaanya adalah bahasa himpunan (assembly language).