Bilakah penghawa dingin (air-cond) kereta perlu diservis & apakah kesan sampingan jika ia tidak pernah diservis?
Seperti penyelenggaraan berkala kenderaan, penghawa dingin kenderaan juga mempunyai jadual penyelenggaraan tertentu mengikut spesifikasi kenderaan yang ditetapkan oleh pengilang. Ia bertujuan untuk memastikan keselesaan & kesihatan pemandu serta penumpang. Sama seperti kereta penumpang biasa jadual penyelengaraan yang disarankan adalah setiap 18 bulan atau 20,000 ke 30,000 kilometer perjalanan. Tujuan penyelenggaraan ini adalah untuk memastikan supaya sistem penghawa dingin ini sentiasa beroperasi dengan baik & sempurna, di samping itu juga penyelenggaraan ini adalah penting untuk memastikan kesihatan pemandu serta penumpang. Penghawa dingin yang kotor akan menghasilkan habuk serta bakteria yang tidak sihat & ini akan mendatangkan kesan kepada pesakit yang menghidapi asma terutamanya pada kanak-kanak serta mereka yang telah berusia.
Kadangkala ia juga merbahaya kepada mereka yang sensitif atau alah pada habuk yang akan menyebabkan kegatalan pada kulit terutamanya pada bahagian muka. Pada mereka yang menghidap resdung kemungkinan diserang selesema adalah tinggi. Penghawa dingin kenderaan akan cepat menjadi kotor jika dibandingkan dengan penghawa dingin di rumah atau pejabat kerana keluasan dalaman kenderaan yang terhad serta komponen penyejukan yang hampir dengan alas lantai. Habuk serta kotoran yang ringan akan disedut terus dari pelapik kaki & tempat duduk terus ke gelung penyejuk atau 'cooling coil' menerusi kipas (blower motor) ketika udara serta habuk ini melalui celah-celah cooling coil. Seterusnya habuk tersebut akan terlekat pada permukaan dinding serta liang cooling coil kerana permukaannya sememangnya berkeadaan lembap disebabkan aktiviti gas penghawa dingin yang berada dalam cooling coil tersebut.
Lama-kelamaan kotoran ini akan menghakis permukaan cooling coil & akan menyebabkan kebocoran gas penghawa dingin dalam kenderaan. Proses servis penghawa dingin ini akan melibatkan beberapa komponen penghawa dingin termasuk pembersihan kipas (blower motor fan), cooling coil, motor pemampat tekanan (air-cond compressor), dan juga penukaran pada injap gas (expansion valve) & penapis gas (receiver dryer). Kebanyakan pengguna melakukan kesilapan dengan beranggapan sistem penghawa dingin ini hanya perlu diservis apabila ia tidak sejuk lagi. Sebenarnya bila sistem penghawa dingin ini tidak sejuk lagi bermakna sudah ada komponen yang rosak atau bocor & ini tidak lagi boleh dianggap sebagai proses servis tetapi adalah proses pembaikan dan bila pembaikan dilakukan kosnya adalah lebih tinggi dari proses penyelenggaraan.
Oleh itu, anda perlu selalu mengikut atau meneliti jadual penyelenggaraan yang dinasihatkan. Paling penting ialah melakukan penyelenggaraan atau pembaikan di bengkel yang bertauliah serta diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan memastikan bengkel mereka memiliki sijil pengiktirafan. Gas penghawa dingin yang dibenarkan adalah dari jenis R134A. Lakukan pembersihan penghawa dingin dengan lebih kerap jika anda selalu menggunakan kenderaan ini dalam pemanduan di bandar & sentiasalah utamakan kesihatan dan keselamatan anda serta penumpang yang lain.