Kacang adalah perkataan yang biasa digunakan bagi biji yang besar, kering dan berminyak atau buah bagi sesetengah tumbuhan. Walaupun pelbagai jenis biji-bijian dan buah-buahan dipanggil kacang, cuma sejumlah kecil dikira sebagai kacang sebenar oleh ahli biologi. Terdapat pelbagai jenis kacang yang boleh anda beli di pasaran. Ia bukan saja dapat memberi rasa enak dalam makanan malah mempunyai banyak khasiat yang boleh dimanfaatkan.
Kacang adalah biji dan buah yang tidak boleh dipisahkan. Biji benih datang daripada buah dan boleh dikeluarkan daripada buah. Contohnya badam, gajus dan walnut yang perlu dikeluarkan daripada buahnya. Mana-mana isi rong yang berminyak dan besar ditemui dalam kulit dan digunakan dalam makanan boleh dikira sebagai kacang. Oleh kerana kacang secara umumnya mempunyai kandungan minyak yang tinggi, ia merupakan makanan yang menjadi sumber tenaga. Sejumlah besar kacang boleh dimakan dan digunakan dalam masakan, dimakan mentah, dipanggang sebagai makanan ringan atau diperah untuk mendapatkan minyak yang digunakan dalam masakan dan alat solek. Disebabkan baru-baru ini saya ada menikmati ayam yang digoreng bersama kacang badam, saya terfikir untuk berkongsi tentang maklumat kacang ini bersama pembaca semua.
Jadi apa kata kita kenali beberapa jenis kacang dan kelebihannya:-
Kacang badam
Kacang badam atau nama saintifiknya prunus dulcis berasal dari Asia Barat dan Asia Selatan merupakan bijian daripada buah drup. Ia mengandungi (lapisan luar iaitu buah, tempurung atau cengkerang yang melindungi bijinya (kacang badam). Cengkerang yang melindungi biji badam harus dipecahkan untuk mendapatkan kacang badam. Badam boleh dimakan mentah atau dipanggang. Ia juga satu komponen bahan untuk aneka hidangan. Badam boleh didapati dalam banyak bentuk, seperti sebiji penuh, dihiris, dan sebagai mentega badam, susu badam dan minyak badam. Badam manis mengandungi lebih kurang 26 peratus karbohidrat (12 peratus serat pemakanan, 6.3 peratus gula, 0.7 peratus kanji dan karbohidrat). Badam kaya sumber vitamin E iaitu mengandungi 26 miligram (mg) setiap 100 gram (g). Ia juga kaya dalam serat pemakanan, vitamin-vitamin B, mineral-mineral penting dan lemak tidak tepu) yang mana berpotensi untuk mengurangkan kolesterol tidak baik (LDL). Badam juga mengandungi phytosterols yang dikaitkan mampu merendahkan kolestrol.
Kacang pistasio
Kacang pistasio yang dikenali sebagai sejenis kacang untuk masakan, tidak dikira sebagai sejenis kacang dari segi biologi. Pistasio adalah biji-biji yang dibalut dalam buah yang keras, yang tidak terbuka secukupnya untuk melepaskan biji-biji tersebut mengandungi lutein dan zeaxanthin iaitu dua jenis karotinoid yang membantu melambatkan penuaan.
Kacang walnut
Kacang walnut dari genus Juglans ialah tumbuhan dalam keluarga Juglandaceae dan merupakan bijian dari buah drup yang boleh dimakan. Isinya yang keras dibuang ketika penuaian. Perkataan walnut berasal dari bahasa Inggeris lama wealhhnutu, bermaksud 'kacang asing', wealh bermaksud 'asing'. Nama Latin untuk walnut adalah nux Gallica. Kacang walnut mengandungi asid lemak omega-3 yang dapat membantu melindungi jantung dan memelihara kesihatan otak. Pada tahun 2010, satu laporan dalam the Journal of the American College of Nutrition mengatakan kacang walnut boleh melegakan stres (tekanan). Berbanding dengan kacang-kacang lain seperti badam, kacang tanah dan kacang hazel, walnut (terutama sekali dalam bentuk mentah) anti oksida yang tinggi yang mampu mengawal penyakit barah.
Begitu banyak kelebihan yang ada pada makanan dari sumber kacang ini, oleh itu cubalah resipi tat yang berasaskan kacang badam. Selamat mencuba!
- UMO