
Bantuan diberikan sehinggalah mereka mampu berdikari & menguruskannya sendiri. Program itu disasarkan kepada lepasan pelatih institusi teknikal Mara seperti Institut Kemahiran Mara, Giat Mara, Infotech Mara, institusi teknikal awam & swasta serta siswazah dalam bidang teknikal. Antara perniagaan yang diberikan keutamaan ialah bidang berkaitan elektrik/elektronik, mekanikal, teknologi aluminium, jahitan pakaian, kek & pastri, kimpalan, komputer & teknologi maklumat serta motosikal. Setiap usahawan yang menyertai program itu akan diberikan bantuan secara pakej meliputi kemudahan latihan seperti kursus pembentukan usahawan, pengurusan perniagaan & asas teknikal mengikut bidang perniagaan. Selain itu kemudahan sewa peralatan & mesin serta pembiayaan perniagaan usahawan teknikal juga disediakan. Dalam pada itu, pegawai Mara sentiasa memberi khidmat rundingan & bimbingan projek menerusi Skim Pakar Runding usahawan Mara. Pemantau & susulan bagi menilai kemajuan serta perkembangan usahawan dibuat dari semasa ke semasa. Putek dijalankan dalam 4 fasa yang antaranya peserta perlu mengikuti kursus pembentukan usahawan bagi tempoh 15-20 hari secara berperingkat bagi fasa satu.
Ia terbuka kepada Bumiputera berumur antara 18 tahun hingga 50 tahun dengan memiliki sekurang-kurangnya sijil kemahiran asas dari IKM, Giat Mara atau lain-lain institusi teknikal yang berkaitan. Bagi bidang elektrikal, pemohon perlu mempunyai sijil yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga. Pemohon perlu mempunyai pengalaman kerja dalam bidang berkaitan sekurang-kurangnya setahun bagi yang mempunyai sijil kemahiran asas atau sekurang-kurangnya 2 tahun bagi yang tidak mempunyai sijil kemahiran tetapi mempunyai pengalaman kerja.