27 Disember 2007

Timba dulu pengalaman baru fikir pasal gaji

Remaja menganggur terutama mereka yang baru menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi, bukan cerita baru. Cuma mungkin jumlahnya semakin ramai berikutan pertambahan penduduk dan jumlah remaja yang menamatkan pengajian hingga ke peringkat universiti meningkat saban tahun. Sesetengah graduan remaja akan marah bila kegagalan mereka mendapat kerja dikatakan kerana terlalu memilih.

"Siapa cakap aku memilih," rungut seorang remaja yang berkelulusan dalam bidang teknologi maklumat. "Semua tempat aku pergi interview semua nakkan pengalaman. Nak kata tak ada, ada pasal aku dulu buat praktikal. Takkan itu pun tak cukup lagi. Dia orang nak pengalaman macam mana?" tambahnya lagi. Seorang remaja berkelulusan bidang perakaunan pula berkata: "Samalah macam aku, berapa banyak bank dah aku pergi interview semuanya gagal pasal mereka mahu pengalaman, entahla aku pun tak tahu." Jika diamati kata-kata mereka ini, memang sekali fikir kita pun akan bertanya kenapa susah sangat mereka hendak mendapatkan pekerjaan kerana mempunyai kelulusan dan sekurang-kurangnya ada juga dua tiga bulan pengalaman sewaktu menjalani praktikal. Tapi bagi majikan, mereka sudah tentu mahukan pengalaman lain yang boleh membantu pekerjanya memberikan lebih lagi, bukan sekadar kemahiran yang mereka peroleh di universiti.

"Ya lah kau orang nak harapkan terus kerja kat tempat besar, perlahan-lahanlah. Cuba kerja kat tempat biasa dulu, mana tahu lepas tu ada rezeki," kata pula seorang remaja yang kini mendapat pekerjaan setanding kelulusannya dan mendapat sedikit kelebihan dari segi pendapatan kerana pernah bekerja 2 tahun di sebuah kedai 24 jam. Pengalaman itulah yang dijaja remaja berkenaan setiap kali menghadiri temu duga sehingga meyakinkan majikannya bahawa beliau boleh melakukan pekerjaannya dengan baik. Walaupun bekerja di tempat sebegitu mungkin dianggap sesetengah remaja sebagai tidak berbaloi tetapi bagi remaja berkenaan ia memberikannya pengalaman cukup berharga yang bukan sekadar menangani perangai pelanggan tetapi juga pengurusan. 

Inilah yang dilihat sebagai kelebihan remaja tadi oleh majikannya. "Tak kuasa aku nak kerja kat tempat macam tu, dah lah kerja tak tentu masa, gaji pulak tak seberapa," jawab seorang remaja yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan awam. "Entahnya, macam aku ada kawan-kawan ajak kerja kar firma audit, tapi bila aku tanya gaji, dia cakap lebih kurang RM1,000. Buang masa aku aja, dahla kerja teruk gaji pulak tak seberapa," sampuk pula remaja yang berkelulusan dalam bidang perakaunan. Sebagaimana kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, falsafah inilah yang sebenarnya kadang-kadang sukar dimengerti dan diambil iktibar oleh sebahagian remaja.

Sememangnya, untuk berjaya bukan kerja mudah, ramai yang kadang-kadang tersungkur dulu sebelum dapat bangkit & terus melangkah jauh. Tidak kurang juga yang tersembam selepas tersungkur, namun jika sudah rezeki, mereka ini akan dapat bangkit. Apa pun bagi remaja, zaman inilah masanya untuk mereka mencari pengalaman. Wang tidak seharusnya menjadi pertimbangan yang cukup meruncing, apa yang penting adalah cukup untuk makan. Nak bermewah-mewah, tunggulah dulu kerana ada masanya kemudian. Walaupun bergaji RM10 sahaja sebulan, tetapi pengalaman untuk gaji sebanyak itu memang tidak ternilai harganya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...