Hari ini ramai yang menyambut hari baharu dengan penuh kesyukuran. Yang pasti satu hari lagi peluang hidup berkurang. Entah tinggal berapa hari lagi baki yang masih ada. Rahsia yang Maha Kuasa tiada siapa boleh menembusi ruang-Nya. Ajal, jodoh, rezeki & titik akhir yang menjadi penentu bahagia atau sengsara menjadi persoalan yang tidak mungkin terjawab. Saat menyambut hari bahagia setiap hari, eloklah kita meneliti arah garis nasib masa depan. Mampukah kita mengubah nasib & bukan berserah kepada nasib?
Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya sentiasa gerun memikirkan misteri takdir manusia menerusi sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya seseorang terkumpul kejadiannya dalam perut ibu selama 40 hari berupa mani, kemudian 40 hari berupa darah, kemudian berupa daging seperti itu juga. Lalu diutus malaikat meniup roh di dalamnya & diperintahkan mencatat 4 perkara iaitu; rezeki, ajal, amal perbuatan & nasib sial atau untungnya. Demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, sesungguhnya seseorang itu ada kalanya melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dia & syurga selangkah saja. Maka sesungguhnya telah tertulis dalam Kitab & dia berubah melakukan perbuatan ahli neraka sehingga masuk ke dalamnya. Dan seseorang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga tidak jauh jarak antara dirinya & neraka melainkan selangkah saja, maka tertulis dalam catatan Kitab dia melakukan amal ahli syurga & masuk ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Suatu ketika anda berjumpa dengan fenomena pelik yang menyimpan kenangan 10 atau 20 tahun lalu. Takjub & hairan berjumpa dengan kawan lama, mengapa lelaki ini boleh berjaya mengatasi anda padahal 10 tahun lalu dia bukan siapa-siapa. Akhirnya nasib nyata boleh berubah, Allah tidak pernah berbuat zalim kepada makhluk-Nya, siapa yang berusaha pasti akan mendapat hasil sesuai dengan usahanya itu. Tetapi ramai pula yang berputus asa. Mereka berkata: "Nasib tidak menyebelahi aku. Setiap kali berniaga pasti muflis, nak minta projek ke sana ke mari macam peminta sedekah tidak juga dapat. Bila aku boleh kaya? Tuhan sudah tetapkan nasib aku sentiasa sial, tidak payah buat kerja sungguh-sungguh, tidak berfaedah, semua tidak menjadi."
Ubat bagi orang berputus asa & berserah kepada nasib ialah:
- Jika takdir anda buruk berlarilah menuju takdir yang baik. Tiada siapa tahu suratan nasib yang melingkari perjalanan hidup di dunia ini. Susah senang silih berganti menjadi lumrah alam. Tiada kata putus untuk memahami takdir. Tidak akan mampu akal manusia mencapai rahsia Allah itu. Hikmahnya adalah supaya kita tidak melampau dalam kesombongan. Ada masa sihat kadangkala jatuh sakit, kaya sebentar lalu miskin tiba-tiba. Ketika berkuasa beringat suatu hari nanti kerajaannya akan jatuh ke tangan orang lain. Semua berputar dalam genggaman Allah supaya kita tahu kita tidak mampu mencabar kuasa-Nya.
Maka diciptakan manusia dalam keadaan tidak mengetahui takdir dirinya sendiri. Dia serba lemah & jahil. Supaya manusia sentiasa berharap kepada Allah & memohon dikurnia nasib yang baik & berusaha berlari daripada takdir buruk menuju takdir baik. Allah tidak akan menolong sesiapa yang tidak mahu menolong dirinya sendiri. Jadi, tiada alasan bagi seseorang Muslim menyerah kepada nasibnya. Jangan salahkan takdir, kerana perjalanan hidup anda belum selesai & ia sudah tertulis di Luh Mahfuz. Seperti kata-kata hikmah yang dilontarkan Umar Al-Khattab mengenai takdir manusia, "Sesungguhnya kita berlari daripada takdir buruk kepada takdir yang baik." Semua itu rahsia Allah. Anda masih mampu mengubah keadaan buruk menjadi baik atas izin Allah.
- Lonjakkan tenaga positif dalam diri. Kejayaan hanya diperoleh selepas anda mengalami tekanan. Semakin tertekan, semakin kuatlah usaha untuk keluar daripada tekanan itu. Begitulah kehidupan, setiap manusia memiliki tenaga positif yang melayakkannya tetap bertahan mengharungi mara bahaya. Tenaga positif itu mengubah seseorang yang tidak dikenali menjadi orang ternama. Ia berada pada jiwa orang yang lahir di tengah mangsa kemiskinan kemudian memberi kekuatan pada seluruh jiwa raganya hingga mampu melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan yang diwarisi turun-temurun. Tenaga positif itu seolah-olah bisikan Tuhan yang mengusik air mata taubat penjenayah yang pekak telinga mereka daripada mendengar nasihat orang mulia lagi warak. Jika manusia sudah kehilangan tenaga positif itu, seolah-olah dia menjadi mayat sebelum dicabut rohnya.