10 Januari 2009

Petua sebelum berbelanja

Sebelum memasang angan-angan untuk berbelanja, baiklah kita tanamkan dulu tabiat - fikir dulu sebelum membeli. Ikuti panduan di bawah untuk membantu anda mengawal tabiat membeli-belah:-

  • Apakah saya benar-benar memerlukannya?
  • Adakah barang itu sudah saya miliki sebelum ini?
  • Berbaloikah memiliki barang itu?
  • 'Matikah' jika saya tidak memilikinya?
  • Adakah harganya berpatutan dengan kualiti?
  • Bolehkah barang itu digunakan dalam tempoh yang lama? Berapa kerap saya akan gunakan?
  • Tempoh jangka hayat?
  • Sesuaikah saya melaburkan sejumlah wang untuk barang itu? Bolehkah saya membelinya pada masa akan datang?


Panduan menjadi insan yang tidak boros:-

  • Biasakan diri untuk tidak membawa kad kredit & kad ATM apabila ingin keluar berbelanja.
  • Bawa sejumlah wang saja yang diperlukan untuk membeli barang keperluan.
  • Senaraikan barang mengikut keperluan utama untuk dibeli.
  • Teliti barang yang ingin dibeli dengan mengambil kira kepentingan & faktor keperluan sebelum membuat keputusan membeli.
  • Buatlah penilaian harga dengan kualiti barangan. Lebih baik tunggu hingga jualan murah jika barang itu lebih berbaloi dibeli ketika itu.

25 November 2008

Serat bantu kurangkan berat badan

Serat boleh membantu jika ingin mengurangkan berat badan. Kajian Universiti Tufts mendapati apabila seseorang itu mengambil lebih banyak serat, ia akan membantu mengurangkan pengambilan kalori sekitar 18% sekaligus membantu mengurangkan berat badan. Menurut penyelidik, senario ini mungkin disebabkan sifat dalam makanan berserat tinggi seperti sayur-sayuran manakala makanan whole grains adalah makanan berkalori rendah. Ia juga mengambil masa untuk dikunyah, memberi tubuh lebih peluang mengenali apa yang dimakan sebelum terlebih makan. Makan berserat tinggi berada lebih lama dalam perut menyebabkan rasa kenyang yang lama.

Fakta

2 jenis serat yang boleh ditemui dalam buah-buahan & sayur -sayuran

a) Serat boleh larut

Kerana sifatnya yang boleh larut dalam air menyebabkan ia tebal & bersifat jeli. Ia kekal lama di dalam perut & kita tidak berasa cepat lapar. Ia membantu menurunkan kadar kolesterol, mengawal gula dalam darah & mengurangkan penyerapan karbohidrat & membuang lemak dari sistem tubuh. Buah-buahan yang mengandungi serat mudah larut termasuk epal, pear, oren & anggur. Bagi sayur-sayuran pula pilihlah okra, lobak merah & kacang.

b) Serat tidak larut

Dikenali juga sebagai insoluble fiber ditemui dalam bijirin, tepung whole-grain, buah-buahan & sayur-sayuran. Buah-buahan yang kaya dengan serat tidak larut termasuklah beri, prun, pisang, ceri, plum, epal & pear. Sayur-sayuran pula bunga kubis, bawang putih, brokoli, cendawan, bayam, kentang & kacang.

24 Julai 2008

Panduan keselamatan elektrik

Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengingatkan pengguna barangan elektrik khasnya & orang awam supaya sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dengan mengamalkan panduan berikut:-

Peralatan elektrik

- Uji pemutus litar bocor ke bumi (ELCB).
- Elakkan memasang pelbagai peralatan elektrik pada satu soket.
- Jangan menyambung wayar menggunakan pita atau pelekat PVC.
- Uji peralatan elektrik yang disimpan lama sebelum menggunakannya.
- Gantikan palam yang pecah & pengalir yang sudah uzur penebatnya.
- Elakkan daripada bermain di bawah menara atau tiang elektrik.
- Ketahui kaedah CPR untuk menyelamat mangsa kejutan elektrik.

Peralatan elektrik pengguna

- Pastikan anda tidak menyentuh suis atau alat elektrik dengan tangan yang basah atau lembap.
- Pastikan suis utama dimatikan jika berlaku banjir & anda diarahkan untuk berpindah.
- Pastikan perkakasan elektrik yang terendam di dalam air diperiksa & diuji terlebih dulu oleh kontraktor elektrik sebelum digunakan semula.

Pepasangan TNB

- Jika dawai elektrik yang terputus atau tiang elektrik tumbang, pastikan anda tidak menghampiri tempat berkenaan.
- Jangan cuba mengalihkan dawai elektrik yang terputus dengan tangan atau alat yang boleh mengalirkan arus elektrik.
- Jangan hampiri kawasan lopak air yang terdapat dawai elektrik yang terputus kerana air boleh mengalirkan arus elektrik serta besar kemungkinan dawai elektrik itu masih hidup.
- Pastikan anda sentiasa mengawasi gerak-geri anak anda agar tidak menghampiri pepasangan TNB seperti tiang elektrik, peti pembekal (feeder pillar) & pencawang elektrik.
- Pastikan anda melaporkan segera ke pejabat TNB yang berdekatan atau menghubungi 15454 jika ada sebarang kerosakan pada pepasangan TNB.

16 Jun 2008

Papan kekunci banyak bakteria

Papan kekunci (keyboard) komputer sebenarnya mengandungi bakteria lebih berbahaya berbanding mangkuk tandas berikutan tabiat pengguna yang kerap makan di meja mereka dan membiarkan sisa makanan tertinggal. Kumpulan pengguna, Which? berkata ujian yang dibuat ke atas pejabatnya di London menemui peralatan mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Daripada 33 papan kekunci yang diuji, 4 dikelaskan sebagai membahayakan kesihatan dan satu mengandungi 5 kali ganda lebih banyak bakteria berbanding mangkuk tandas. Pakar mikrobiologi berkata kekunci selalunya adalah "bayangan apa yang ada dalam hidung dan usus". Ketika ujian yang dijalankan Which? Januari lalu, pakar mikrobiologi menyifatkan satu daripada papan kekunci pejabat itu amat kotor sehingga beliau mengarahkan ia dikeluarkan, dikuarantin dan dibersihkan. Ia mengandungi 150 kali ganda melebihi had dicadangkan untuk bakteria iaitu 5 kali lebih tinggi berbanding mangkuk tandas pada masa sama, menurut kajian. Peralatan itu diuji untuk mencari bakteria, termasuk yang boleh menyebabkan keracunan makanan seperti E Coli.

15 Jun 2008

Perkukuh jiwa menerusi tenaga positif

Hari ini ramai yang menyambut hari baharu dengan penuh kesyukuran. Yang pasti satu hari lagi peluang hidup berkurang. Entah tinggal berapa hari lagi baki yang masih ada. Rahsia yang Maha Kuasa tiada siapa boleh menembusi ruang-Nya. Ajal, jodoh, rezeki & titik akhir yang menjadi penentu bahagia atau sengsara menjadi persoalan yang tidak mungkin terjawab. Saat menyambut hari bahagia setiap hari, eloklah kita meneliti arah garis nasib masa depan. Mampukah kita mengubah nasib & bukan berserah kepada nasib?

Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya sentiasa gerun memikirkan misteri takdir manusia menerusi sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya seseorang terkumpul kejadiannya dalam perut ibu selama 40 hari berupa mani, kemudian 40 hari berupa darah, kemudian berupa daging seperti itu juga. Lalu diutus malaikat meniup roh di dalamnya & diperintahkan mencatat 4 perkara iaitu; rezeki, ajal, amal perbuatan & nasib sial atau untungnya. Demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, sesungguhnya seseorang itu ada kalanya melakukan perbuatan ahli syurga sehingga jarak antara dia & syurga selangkah saja. Maka sesungguhnya telah tertulis dalam Kitab & dia berubah melakukan perbuatan ahli neraka sehingga masuk ke dalamnya. Dan seseorang yang melakukan perbuatan ahli neraka sehingga tidak jauh jarak antara dirinya & neraka melainkan selangkah saja, maka tertulis dalam catatan Kitab dia melakukan amal ahli syurga & masuk ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Suatu ketika anda berjumpa dengan fenomena pelik yang menyimpan kenangan 10 atau 20 tahun lalu. Takjub & hairan berjumpa dengan kawan lama, mengapa lelaki ini boleh berjaya mengatasi anda padahal 10 tahun lalu dia bukan siapa-siapa. Akhirnya nasib nyata boleh berubah, Allah tidak pernah berbuat zalim kepada makhluk-Nya, siapa yang berusaha pasti akan mendapat hasil sesuai dengan usahanya itu. Tetapi ramai pula yang berputus asa. Mereka berkata: "Nasib tidak menyebelahi aku. Setiap kali berniaga pasti muflis, nak minta projek ke sana ke mari macam peminta sedekah tidak juga dapat. Bila aku boleh kaya? Tuhan sudah tetapkan nasib aku sentiasa sial, tidak payah buat kerja sungguh-sungguh, tidak berfaedah, semua tidak menjadi."

Ubat bagi orang berputus asa & berserah kepada nasib ialah:

- Jika takdir anda buruk berlarilah menuju takdir yang baik. Tiada siapa tahu suratan nasib yang melingkari perjalanan hidup di dunia ini. Susah senang silih berganti menjadi lumrah alam. Tiada kata putus untuk memahami takdir. Tidak akan mampu akal manusia mencapai rahsia Allah itu. Hikmahnya adalah supaya kita tidak melampau dalam kesombongan. Ada masa sihat kadangkala jatuh sakit, kaya sebentar lalu miskin tiba-tiba. Ketika berkuasa beringat suatu hari nanti kerajaannya akan jatuh ke tangan orang lain. Semua berputar dalam genggaman Allah supaya kita tahu kita tidak mampu mencabar kuasa-Nya.

Maka diciptakan manusia dalam keadaan tidak mengetahui takdir dirinya sendiri. Dia serba lemah & jahil. Supaya manusia sentiasa berharap kepada Allah & memohon dikurnia nasib yang baik & berusaha berlari daripada takdir buruk menuju takdir baik. Allah tidak akan menolong sesiapa yang tidak mahu menolong dirinya sendiri. Jadi, tiada alasan bagi seseorang Muslim menyerah kepada nasibnya. Jangan salahkan takdir, kerana perjalanan hidup anda belum selesai & ia sudah tertulis di Luh Mahfuz. Seperti kata-kata hikmah yang dilontarkan Umar Al-Khattab mengenai takdir manusia, "Sesungguhnya kita berlari daripada takdir buruk kepada takdir yang baik." Semua itu rahsia Allah. Anda masih mampu mengubah keadaan buruk menjadi baik atas izin Allah.

- Lonjakkan tenaga positif dalam diri. Kejayaan hanya diperoleh selepas anda mengalami tekanan. Semakin tertekan, semakin kuatlah usaha untuk keluar daripada tekanan itu. Begitulah kehidupan, setiap manusia memiliki tenaga positif yang melayakkannya tetap bertahan mengharungi mara bahaya. Tenaga positif itu mengubah seseorang yang tidak dikenali menjadi orang ternama. Ia berada pada jiwa orang yang lahir di tengah mangsa kemiskinan kemudian memberi kekuatan pada seluruh jiwa raganya hingga mampu melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan yang diwarisi turun-temurun. Tenaga positif itu seolah-olah bisikan Tuhan yang mengusik air mata taubat penjenayah yang pekak telinga mereka daripada mendengar nasihat orang mulia lagi warak. Jika manusia sudah kehilangan tenaga positif itu, seolah-olah dia menjadi mayat sebelum dicabut rohnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...