09 Februari 2008

Membersih & mengemaskini fail komputer

Kali ini, anda akan diketengahkan antara langkah yang perlu dilaksanakan bagi membersih dan mengemaskini fail dalam sistem komputer peribadi (PC) bagi memastikan operasi aplikasi komputer atau Windows (program) dapat berjalan dengan cekap, lancar serta cepat. Ia membabitkan aktiviti mengemaskini fail yang tidak diperlukan di dalam ruangan cakera PC pemilik. Pada peringkat awal, antara langkah yang perlu dilakukan ialah membuang fail tidak diperlukan ke dalam Recycle Bin, diikuti membuang fail sementara, pembersihan cakera dan diakhiri dengan proses penyusunan fail di dalam cakera keras (menerusi aplikasi Disk Defragmenter).

Apabila fail yang tidak diperlukan sudah dibuang daripada cakera keras, ia (fail) akan dihantar ke Recycle Bin dan ditempatkan ke destinasi simpanan sementara bagi membolehkan pemilik komputer mengenalpasti sama ada fail itu perlu dihapuskan atau untuk ditempatkan semula ke lokasi asalnya. Jika masih ada fail yang diperlukan, ia boleh ditempatkan semula ke lokasi asal dengan memilih Restore pada fail itu. Apabila fail itu tidak diperlukan, klik di sebelah kanan tetikus dan kosongkan Recycle Bin menerusi pilihan Empty Recycle Bin. Saranan kepada pemilik PC ialah proses itu perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan kecekapan operasi komputer. Fail sementara yang ditinggalkan selepas penggunaan program, boleh dibuang daripada segmen Temporary Internet Files dengan memilih butang 'delete files' daripada ruangan Tools, disusuli pemilihan ruangan Internet Options. Kemudian, kita boleh meneruskan proses pembersihan cakera yang akan membuang komponen Windows, program dan fail sementara yang tidak diperlukan dengan pergi ke menu Start yang diikuti klik pada Programs, Accessories, System Tools dan pilih Disk Cleanup.

Selepas fail yang tidak diperlukan dihapuskan, adalah disarankan untuk menyusun semula struktur sistem fail yang berselerak di dalam cakera keras bagi memastikan aktiviti pencarian program dapat dilakukan dengan lebih lancar dan mudah pada masa depan. Ini membabitkan membuka menu Start, diikuti dengan Programs, Accessories, System Tools dan klik Disk Defragmenter. Proses ini mungkin memakan masa sehingga beberapa jam bergantung kepada kaedah proses penyusunan semula itu dilaksanakan, di samping memerlukan ruangan kosong PC sebanyak 15%.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...