09 Februari 2008

Setiap pelaburan ada risiko

Apabila membuat pelaburan, ada yang berasa bimbang wang dilaburkan itu lesap ataupun tidak mendapat keuntungan seperti yang diharapkan. Itu memang tidak dinafikan kerana sudah menjadi adat pelaburan, ada yang memberikan pulangan menarik & ada juga yang rugi. Kerugian ini yang menakutkan banyak pihak & mereka lebih rela meletakkan wang mereka dalam akaun simpanan biasa meskipun mengetahui pulangannya tidak seberapa. Banyak pertanyaan mengenai risiko pelaburan khususnya bagi yang berminat untuk melabur dalam saham amanah. Diandaikan pelaburan ini umpama membuka restoran. Sebelum dapat mengaut pulangan, pemilik restoran berkenaan pastinya perlu mengeluarkan wang dulu untuk menyediakan segala kelengkapan seperti menyewa bangunan bersesuaian, menyediakan dapur & peralatan memasak, pinggan mangkuk, tukang masak, pelayan, & bahan-bahan masakan.

Kebiasaannya, dalam tempoh 6 bulan ataupun tahun pertama masih lagi belum pulang modal. Jika restoran itu unik & menyajikan makanan yang sedap mungkin kurang daripada 2 atau 3 tahun, pemiliknya sudah boleh tersenyum kerana sudah mendapat semula modal pelaburan, tetapi bagi yang baru mula berjinak-jinak & kurang pengalaman berniaga mungkin mengambil masa lebih lama. Begitu jugalah sekiranya anda melabur dalam saham amanah. Risikonya memang ada, namum ia adalah jenis risiko yang boleh diurus. Risiko boleh diurus ini bermaksud pengurus dana akan mengambil segala langkah perlu bagi mengurangkan risiko pelaburan & caranya adalah dengan mengagihkan pelaburan itu dalam beberapa portfolio. Portfolio pelaburan ini termasuklah bon, bil perbendaharaan kerajaan, simpanan tetap, gugusan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia atau luar negara.

Pemilihan pelaburan dalam syarikat ini akan ditentukan oleh pengurus dana profesional yang akan membuat kajian teliti mengenai sesebuah syarikat yang ingin dilaburkan. Ia bukan dibuat sembarangan. Hanya syarikat yang kukuh & berpotensi saja menjadi pilihan. Kepelbagaian pelaburan dalam amanah saham ini menjadikan ia pilihan pelaburan digemari ramai terutama bagi masyarakat luar negara. Di Amerika Syarikat (US) saja industri saham amanahnya menguasai lebih 40% pasaran modal negara berkenaan, India 30% manakala Malaysia baru saja berkembang dan menguasai hanya kira-kira 14%. Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa pelaburan saham ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang risiko jika pelabur mempunyai masa. Masa adalah faktor utama yang menentukan pelaburan itu berisiko atau tidak. Ia akan menjadi berisiko apabila pelabur tidak mempunyai masa kerana pelaburan dalam saham amanah ini adalah untuk jangka masa panjang, sekurang-kurangnya mempunyai masa antara 3-5 tahun.

Tidak dinafikan ada pelaburan dalam saham amanah ini tidak membuahkan hasil yang dijangkakan. Sehubungan itu, sebelum membuat pelaburan, harus dibuat kajian & penyelidikan terlebih dahulu. Sebaiknya dapatkan maklumat lanjut berkenaan sesuatu jenis dana yang ingin dilaburkan. Jangan mudah terpedaya dengan slogan tertentu kerana secara umumnya mana-mana institusi pengurusan dana di negara ini menawarkan mempunyai kelebihan & keistimewaannya sendiri. Sebagai pelabur, anda perlu membuat pilihan bijak. Umumnya industri pelaburan saham amanah di negara ini mampu memberikan pulangan antara 10-15% setahun. Seandainya anda melabur RM100,000 dalam tempoh 5 tahun, ada dana yang mampu memberikan pulangan lebih 100%! Bagaimanapun, pemilihan dana ini bergantung pada faktor usia & profil risiko yang mampu ditangani pelabur berkenaan.

Setiap pelabur mempunyai profil risiko yang berbeza. Ada yang agak konservatif & kebiasaannya dana yang ditawarkan untuk mereka juga adalah dana konservatif (berisiko rendah). Sementara yang sederhana akan ditawarkan dana seimbang, manakala yang sukakan cabaran akan ditawarkan dana agresif. Namun perlu diingat, tahap risiko pelaburan dana amanah ini berkait rapat dengan pulangan pelaburan. Lebih tinggi risikonya lebih tinggi pula pulangannya. Bagi perunding kewangan berpengalaman, mereka akan merangka beberapa strategi pelaburan untuk memaksimumkan keuntungan pelabur. Justeru, sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan, anda pelu bijak memilih institusi pengurusan dana serta perkhidmatan nilai tambah (add-ons) yang ditawarkan & profesionalisme rundingannya. Pastikan wang anda itu berada dalam tangan yang terbaik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...