26 Januari 2008

'Karnival' tidak sesuai untuk umat Islam


Perkataan karnival (carnival) berasal daripada Latin iaitu 'carnevale'. Carne bererti daging & vale bererti selamat tinggal, yang bermaksud berhenti memakan daging. Penggunaannya dikesan dalam kurun ke-13 Masihi dikaitkan dengan amalan pengikut gereja Roman Katolik yang berpesta sebelum berpuasa ketika 'Lent'. Sebenarnya amalan pesta 'carnival' bermula dari era sebelum Kristian & dirayakan selama 3 hari pada penghujung musim sejuk sehingga permulaan musim bunga. Ia dilakukan untuk menghalau hantu syaitan jahat musim sejuk sebelum memasuki musim bunga. Justeru itu, 'carnival' kekal sebagai upacara menghalau hantu syaitan & ia adalah sejenis amalan tahyul. Hantu syaitan itu dikatakan suka membuat bising & mengganggu manusia dan untuk menghalaunya mereka menggunakan cemati, loceng & alatan muzik yang lebih bising. Pihak gereja Roman Katolik gagal dalam usaha membuang tradisi kuno perayaan 'carnival' ini. Seperti kebiasaan, mereka kemudian menerapkan karnival ke dalam ajaran Kristian. Pada 1901, "Synod of Benevento' membuat deklarasi bahawa Rabu selepas sambutan 3 hari karnival adalah dikenali sebagai 'Ash Wednesday'. Daripada sorotan di atas, jelaslah karnival berkait dengan kepercayaan tahyul yang syirik dari segi ajaran Islam yang kemudian diterapkan ke dalam ajaran agama Kristian. Maklumat berkenaan terkandung dalam rujukan seperti berikut: Origin and History of Carnival diterjemahkan & disunting oleh Drs Trudy Martinus terbitan Curacao Carnival Foundation (http://karnaval.an/Origin_and_History) & satu lagi Carnival in Germany (http://bbc.co.uk/h2g2/Carnival in Germany.htm). Islam membuang semua bentuk kepercayaan tahyul atau apa-apa kepercayaan atau pesta yang berkaitan dengannya. Islam juga melarang umatnya mengikuti amalan atau gaya hidup yang ditiru daripada penganut agama lain lebih-lebih lagi apabila membabitkan akidah. Persoalannya, mengapa hari ini masyarakat Islam masih memilih perkataan karnival untuk dijadikan nama pilihan bagi sesuatu pesta, perayaan, sambutan atau beli-belah. Tiada sesiapa pun yang memaksa kita menggunakan perkataan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...