CRM ialah persatuan yang mewakili stesen radio komersial di negara ini. Industri radio sudah mencapai tahap matang sehingga pendengar kini dapat mengenal pasti apa dan bila mereka mahu dengar, dengan hanya memilih tidak lebih daripada purata dua saluran. Sebagai sebuah industri, katanya radio juga mencatatkan kemajuan dalam bidang lain serta membentuk set penanda aras yang baru. Antara contoh, saluran BFM memenangi Anugerah Kancil Emas tahun lalu di samping beberapa anugerah lain di Cannes, AdFest, One Show dan Spikes Asia tahun ini untuk kempen Kesedaran Barah Payudara. Radio meluaskan capaiannya sejak dekad lalu dengan beberapa stesen telah memformat isi kandungan secara lebih khusus untuk menarik pendengar sasar masing-masing.
Dari segi capaian pendengar, ERA mengekalkan kedudukan teratas dalam kalangan saluran berbahasa Melayu dengan purata 4.5 juta pendengar seminggu. Ia diikuti rapat oleh SINAR dengan 4.2 juta pendengar mingguan dan hotFM dengan 3.4 juta pendengar. Di antara saluran berbahasa Cina, MY FM menerajui kedudukan dengan 2.2 juta pendengar disusuli 988 dan ONE FM, masing-masing dengan 1.5 juta dan 861,000 pendengar. Sementara itu, hitz.fm sekali lagi menguasai saluran berbahasa Inggeris dengan 1.7 juta pendengar. Saluran pelbagai bahasa, THR Raaga/THR Gegar dan Red masing-masing mempunyai 3.6 juta dan 237,000 pendengar.