26 Januari 2008

Melindungi maklumat daripada ancaman spam

Pemilik akaun e-mel pasti pernah menerima mel elektronik yang dihantar daripada alamat pengirim yang tidak dikenali dan sering kali dikaitkan dengan e-mel spam. Kebiasaannya, e-mel yang dihantar daripada pengirim tidak dikenali itu mengandungi pesanan mel yang tidak memberi sebarang makna atau mempunyai unsur boleh mengancam keselamatan pemiliknya.

Bagaimanapun, perlu diingat penerimaan e-mel seumpamanya juga boleh dihantar daripada pengirim yang dikenali apabila ia digunakan oleh program yang boleh mengancam & berniat jahat. Ciri e-mel spam yang dimaksudkan itu mampu menarik perhatian pengguna dengan membeli produk atau menyaran pemilik akaun untuk mendaftarkan diri bagi perkhidmatan yang ditawarkan. Ada kalanya, ia turut dilengkapi fail lampiran & laman web yang menghubungkan pengguna dengan program berbahaya & memiliki unsur ancaman yang boleh mendedahkan identiti peribadi pemilik.

Kepada pengguna biasa, adalah sukar untuk menentukan sama ada e-mel yang diterima itu memiliki ciri e-mel spam. Cara untuk mengenalpasti mel spam dapat dilihat berdasarkan penggunaan nama unik bagi tajuk e-mel yang dihantar bagi menarik perhatian pengguna untuk membukanya. Jiak anda berdepan dengan situasi itu, anda disarankan 'jangan buka' e-mel terbabit sehingga identiti pengirim dapat dikenalpasti. Ciri e-mel spam dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan rangkaian ayat yang disengajakan dieja dengan salah bagi mengelirukan program antispam yang dipasang dalam komputer pemilik.

Selain itu, pendekatan yang sama digunakan bagi mendapatkan maklumat peribadi pemilik e-mel menerusi penghantaran pesanan yang dikenali phishing. Ia adalah proses penghantaran e-mel spam berunsurkan penipuan apabila kebiasaannya datang daripada pihak bank atau institusi kewangan tanpa pengetahuan mereka. Jika e-mel seumpamanya diterima, pastikan laman web yang dihubungkan itu adalah asli terutamanya apabiala ia datang daripada pihak bank.

Sehubungan itu, pelbagai komponen keselamatan turut dibangunkan pada e-mel menerusi komponen penapisan spam bagi melindungi pengguna. Malah, bagi memastikan pengguna dilindungi, anda disarankan untuk memiliki lebih daripada satu e-mel. Ini bagi membolehkan anda mencuba laman web yang diterima berunsurkan mel spam itu, dengan didaftarkan menerusi pendekatan penggunaan latar belakang pemilik yang tidak tepat. Menerusi pendekatan itu, pemilik akaun e-mel dapat mengenalpasti sama ada e-mel yang diterima itu mempunyai unsur e-mel spam yang dimaksudkan.

'Karnival' tidak sesuai untuk umat Islam


Perkataan karnival (carnival) berasal daripada Latin iaitu 'carnevale'. Carne bererti daging & vale bererti selamat tinggal, yang bermaksud berhenti memakan daging. Penggunaannya dikesan dalam kurun ke-13 Masihi dikaitkan dengan amalan pengikut gereja Roman Katolik yang berpesta sebelum berpuasa ketika 'Lent'. Sebenarnya amalan pesta 'carnival' bermula dari era sebelum Kristian & dirayakan selama 3 hari pada penghujung musim sejuk sehingga permulaan musim bunga. Ia dilakukan untuk menghalau hantu syaitan jahat musim sejuk sebelum memasuki musim bunga. Justeru itu, 'carnival' kekal sebagai upacara menghalau hantu syaitan & ia adalah sejenis amalan tahyul. Hantu syaitan itu dikatakan suka membuat bising & mengganggu manusia dan untuk menghalaunya mereka menggunakan cemati, loceng & alatan muzik yang lebih bising. Pihak gereja Roman Katolik gagal dalam usaha membuang tradisi kuno perayaan 'carnival' ini. Seperti kebiasaan, mereka kemudian menerapkan karnival ke dalam ajaran Kristian. Pada 1901, "Synod of Benevento' membuat deklarasi bahawa Rabu selepas sambutan 3 hari karnival adalah dikenali sebagai 'Ash Wednesday'. Daripada sorotan di atas, jelaslah karnival berkait dengan kepercayaan tahyul yang syirik dari segi ajaran Islam yang kemudian diterapkan ke dalam ajaran agama Kristian. Maklumat berkenaan terkandung dalam rujukan seperti berikut: Origin and History of Carnival diterjemahkan & disunting oleh Drs Trudy Martinus terbitan Curacao Carnival Foundation (http://karnaval.an/Origin_and_History) & satu lagi Carnival in Germany (http://bbc.co.uk/h2g2/Carnival in Germany.htm). Islam membuang semua bentuk kepercayaan tahyul atau apa-apa kepercayaan atau pesta yang berkaitan dengannya. Islam juga melarang umatnya mengikuti amalan atau gaya hidup yang ditiru daripada penganut agama lain lebih-lebih lagi apabila membabitkan akidah. Persoalannya, mengapa hari ini masyarakat Islam masih memilih perkataan karnival untuk dijadikan nama pilihan bagi sesuatu pesta, perayaan, sambutan atau beli-belah. Tiada sesiapa pun yang memaksa kita menggunakan perkataan itu.

Permohonan IPTA menerusi Internet

Semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan membuat permohonan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2008/2009 menerusi aplikasi dalam talian (online). Langkah itu adalah antara penambahbaikan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan proses permohonan kemasukan ke IPTA lebih pantas & berkesan. Pemohon yang berdepan masalah kemudahan Internet, terutama di kawasan pedalaman, boleh menghubungi pegawai kementerian untuk bantuan membuat permohonan melalui aplikasi dalam talian. Setiap tahun kementerian mendapat rayuan daripada pemohon di Sabah & Sarawak. Bagaimanapun, bilangannya kecil. Menerusi aplikasi dalam talian, pemohon hanya perlu menggunakan nombor pengenalan unik (Nombor Unik ID) 6 angka, nombor kad pengenalan (IC) & kata laluan (password) untuk membuat permohonan. Nombor Unik ID boleh dibeli di kaunter atau mesin juruwang automatik (ATM) di 375 cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara sehari selepas iklan pelawaan permohonan diumumkan pada 4 Februari 2008 sehingga tarikh tutup permohonan. Harga setiap Nombor Unik ID ialah RM10 untuk lepasan SPM & RM15 untuk lepasan STPM atau setaraf.
BSN juga akan menyediakan perkhidmatan pembelian Nombor Unik ID di 40 mesin deposit tunai selewat-lewatnya hujung Mac ini & menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada masa depan. Permohonan kemasukan sesi 2008/2009 menerusi dalam talian itu akan dibuat dalam 2 fasa bagi mengelakkan masalah talian sibuk atau kesesakan pelayan (server) seperti tahun lalu. Fasa pertama dari 12 November hingga 31 Disember 2007 dengan setiap pemohon hanya dikehendaki memasukkan maklumat diri tanpa memilih universiti. Fasa ke-2 yang akan dibuka semula daru jam 12 tengah hari pada 4 Februari 2008 hingga 10 hari bekerja selepas keputusan SPM diumumkan, calon boleh memilih universiti serta kursus yang dikehendaki. Bagi fasa pertama yang ditutup pada 31 Disember 2007, seramai 97,639 lepasan SPM, iaitu kira-kira 65% daripada anggaran keseluruhan 150,000 pemohon, mengemukakan permohonan. Daripada jumlah itu, 45% adalah pemohon luar bandar & ini satu petanda baik bahawa masyarakat di kawasan pedalaman semakin menyedari kepentingan penggunaan Internet. Bagi permohonan kemasukan ke IPTA untuk lepasan SPM 2006 tahun lalu, 77% atau 105,344 daripada keseluruhan 135,458 permohonan diterima secara aplikasi dalam talian.


*Talian bantuan untuk permohonan ke IPTA:-
Helpline: 03-8883 5848
Hotline: 03-8883 5858
SMS: 32300
E-mel: upu@mohe.gov.my

23 Januari 2008

Rangkaian data saham amanah

Suruhanjaya Sekuriti (Security Commission - SC) telah memperkenalkan pangkalan data (database) saham amanah secara dalam talian (online), termasuk prospektus, surat ikatan amanah, laporan tahunan (annual report) & penyata kewangan atau laporan pengarah semua amanah saham Malaysia yang diterbitkan daripada 1996 hingga sekarang. Pangkalan data secara dalam talian itu bermanfaat terutama kepada yang menjalankan kajian perbandingan amanah saham. Inisiatif itu diterajui Pusat Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) sebagai sebahagian inisiatif pembangunan keseluruhan perpustakaannya untuk mengenalpasti, menggabung & menyediakan capaian atas talian kepada data pasaran modal & maklumat yang akan memperkenalkan pendidikan pelabur & menyokong penyelidikan pasaran modal. Akses pangkalan data hanya untuk pengguna berdaftar sebagai ahli perpustakaan SIDC. Keanggotaan individu berjumlah RM50 setahun manakala korporat yang membenarkan 3 penama berjumlah RM500 setahun. Borang pendaftaran boleh didapati secara dalam talian di laman web SC, http://www.sc.com.my/ .

JobStreet sedia laman web pekerjaan

Lepasan universiti yang masih menganggur boleh mencuba nasib mencari pekerjaan sesuai dengan melayari laman web pekerjaan terbesar di Asia Pasifik, JobStreet.com (JobStreet). Hal ini kerana JobStreet menyediakan satu laman web khas iaitu khidmat JobStreet Campus dalam usaha meningkatkan peluang lepasan universiti tempatan mendapatkan pekerjaan. Perkhidmatan web itu membolehkan graduan menghantar resume yang kemudiannya dicapai syarikat yang mempunyai kekosongan jawatan. JobStreet menggunakan perisian LiNa untuk membuat penyesuaian pemohon dengan data kerja kosong & SiVa bagi membantu majikan memproses permohonan, penjadualan temu duga secara automatik, ujian dalam talian (online) & penilaian terhadap calon. Laman web itu menerima sesiapa saja memohon kerja tanpa mengira tahap kelulusan, tetapi kelayakan bagi sesuatu pekerjaan itu perlu selaras dengan permintaan. Mereka yang berminat untuk mendaftar boleh melayari laman web JobStreet.com. Pendaftaran ini percuma asalkan mereka mempunyai e-mel sah. Jangka masa pemohon mendapat pekerjaan bergantung kekosongan jawatan diiklankan majikan & mereka boleh menyemak status permohonan dari semasa ke semasa. Terlalu banyak jawatan dalam pelbagai bidang diiklankan setiap hari & JobStreet memberi makluman mengenai kerja kosong menerusi 'Job Alert'. Antara syarikat yang mengiklankan jawatan kosong menerusi laman web itu ialah Petronas, Shell, Intel, Bank Negara, & Maybank.

Pastikan Internet selamat untuk kanak-kanak

Penggunaan komputer & laman web tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, tetapi meliputi pelbagai peringkat termasuk kanak-kanak. Dunia web yang seharusnya menjadi perantara dalam mendapatkan pelbagai maklumat berharga sering disalah gunakan bagi tujuan negatif seperti melayari laman web lucah, kemungkinan terdedah kepada kenalan baharu yang tidak dikenali latar belakangnya & penipuan kerja sekolah hasil daripada kandungan yang diperoleh.

Perlu diingat, kanak-kanak adalah segmen pengguna yang mudah terdedah kepada tipu helah pengguna lain yang cuba memanipulasi mereka yang berada di dunia web. Bagi memastikan proses melayari web dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam persekitaran yang selamat, beberapa garis panduan, terutama kepada ibu bapa bagi mengelak anak mereka daripada terdedah kepada ancaman Internet. Antaranya adalah pastikan anak-anak yang memiliki e-mel tidak mendedahkannya kepada orang yang tidak dikenali & elakkan daripada memberikan nama penuh, sekolah, alamat, nombor rumah serta telefon kepada kenalan baharu dari dunia web itu.

Kanak-kanak seharusnya mengelakkan daripada bersetuju mengadakan pertemuan dengan orang yang tidak dikenali ketika bertemu di dunia web & maklumkan ibu bapa atau penjaga mereka berhubung perkembangan itu. Apabila anda mendapat e-mel yang tidak dikenali pengirimnya, disarankan supaya tidak membuka e-mel itu & pada masa yang sama jangan dedahkan kata laluan Internet kepada orang lain. Jika laman web yang dilawati atau e-mel yang diterima mengandungi kandungan yang tidak menyenangkan, kanak-kanak perlu memberitahu ibu bapa atau penjaga mereka. Kepada ibu bapa pula, hadkan penggunaan komputer peribadi (PC) kepada hanya satu saja bagi membolehkan aktiviti pelayaran Internet anak mereka diawasi sepanjang masa & jelaskan kepada kanak-kanak keperluan untuk lebih berhati-hati ketika melayari laman web baharu.
Pelbagai pakej perisian turut ditawarkan di rak jualan kelengkapan IT ketika ini yang boleh membantu mengawal aktiviti pelayaran Internet kanak-kanak seperti merekodkan alamat laman web yang dilayari, e-mel, perisian aplikasi komunikasi, menapis & menghalang kemasukan pada laman web tertentu. Jika anak-anak anda menggunakan aplikasi carian Google, pada kolum 'Preferences', ibu bapa boleh membuat pilihan untuk menetapkan penapisan carian selamat bagi menghalang imej & teks yang dilarang daripada dipaparkan. Selain daripada memiliki kata laluan pentadbir sendiri, ibu bapa atau penjaga disaran membuka akaun pengguna berasingan untuk kegunaan kanak-kanak bagi memastikan perisian yang boleh memudaratkan tidak dipasang, aktiviti pemindahan fail penting tanpa kebenaran dikenalpasti & penukaran ketetapan Windows dihalang.

Ia boleh dilaksanakan menerusi proses satu klik pada menu Start, disusuli Control Panel & User Account. Kemudiannya, anda boleh membuka akaun baharu untuk anak dengan memilih nama serta had akaun sebelum meneruskan lengkah terakhir ketetapan Windows itu.

22 Januari 2008

Tips menjaga kaki


  • Berjalan adalah senaman terbaik untuk kaki. Ia juga menyumbang kepada peredaran darah bagi membaik pulih sistem badan.
  • Mereka yang dilahirkan dengan masalah kaki hanya dalam peratusan kecil. Jika kaki dibiarkan tanpa penjagaan sempurna termasuk kasut yang kurang bersesuaian, ia mampu membawa kemudaratan.
  • Waktu paling sesuai membeli kasut adalah tengah hari kerana kaki mengembang selepas tempoh itu.
  • Kajian American Foot & Ankle Society pada 2001 mendapati 88% wanita memakai kasut terlalu kecil. 55% daripada populasi ini menghidap bunion.

Panduan jimatkan penggunaan bahan bakar

  • Rancang dahulu perjalanan & pilih laluan paling dekat untuk ke sesuatu destinasi.
  • Hentikan tabiat suka bersiar-siar dengan kereta.
  • Hadkan perjalanan yang kurang penting seperti ke pasar & pasar raya.
  • Memandu pada tahap kelajuan tetap & tidak memecut.
  • Amalkan penggunaan pengangkutan awam.
  • Kurangkan penggunaan penghawa dingin.
  • Jika berhenti di lampu isyarat, gear kenderaan hendaklah berada pada kedudukan bebas (neutral).
  • Jangan memotong kenderaan jika tidak perlu kerana ia boleh meningkatkan penggunaan bahan bakar.
  • Elak daripada memandu di kawasan sesak.
  • Pastikan semua fungsi kenderaan & enjin dalam keadaan sempurna.

16 Januari 2008

Ijazah bukan saham mudah untuk dapat kerja

Ada remaja yang sudah memperoleh diploma dan ijazah masih belum mendapat kerja tetap. Malah ada yang terpaksa menunggu hingga 5 tahun baru mendapat pekerjaan yang sesuai setelah melakukan pelbagai pekerjaan sementara. Namun, ada juga yang tidak memiliki ijazah tetapi senang mendapat kerja. Lebih melucukan ada yang suka bertukar kerja keraan gaji tidak menarik, suasana kerja tidak memuaskan dan bidang pekerjaan tidak sesuai dengan jiwa & kepakarannya.

Pengangguran di kalangan siswazah sekarang membuka mata bahawa sikap memilih kerja tidak harus wujud. Perlu diingat bahawa ibu bapa mengharapkan anaknya bekerja atau sekurang-kurangnya tidak menyusahkan orang tua lagi. Ada kes seorang graduan, dikenali sebagai Osman yang diterima bekerja oleh sebuah syarikat yang baru 5 bulan beroperasi. Dia boleh dikategori sebagai bertuah & mendapat gaji RM1,300 sebulan. Maklumlah keadaan ekonomi & kadar pengangguran yang tinggi tidak mengizinkan graduan terlalu memilih kerja. Malangnya, syarikat itu tidak bertahan lama, dia hanya merasai 3 bulan gaji. Dia terus kembali tergolong dalam kategori siswazah menganggur. Berbagai-bagai cara dilakukan untuk mendapat kerja.
Salah satu dari usaha Osman ialah menerusi agensi pekerjaan. Nasib menyebelahinya. Dia ditawarkan pekerjaan sementara sebagai pembantu akaun di sebuah syarikat multinasional. Tempoh bekerja selama 6 bulan mendedahkannya kepada pengetahuan IT dalam dunia korporat. Semua transaksi menggunakan komputer & sistem pembayaran adalah secara dalam talian (online) dengan bank. Apa yang menarik, penyelianya tidak mempunyai sebarang kelayakan profesional, tetapi pada usia baru mencecah 30-an, pencapaiannya dalam kerjaya agak membanggakan. Gajinya sudah mencecah lebih RM3,000 sebulan. Dia pernah berkata kepada Osman: "Segulung ijazah belum cukup untuk seseorang mengorak langkah jauh dalam kerjayanya. Ijazah bukan lesen untuk mendapatkan pekerjaan tetap." Kita harus mempunyai pengetahuan yang global & kemahiran seperti komunikasi, celik IT, cekap, dan yakin pada diri sendiri, katanya.

Selepas tamat kontrak, graduan itu kembali meneruskan pencarian iaitu cari kerja. Kadang-kadang Osman tergelak sendirian apabila memikirkan apakah pekerjaan sebenar yang diingini sebagai pencari kerja. Sekali lagi dia ditawarkan pekerjaan sementara di sebuah syarikat multinasional yang lain. Di syarikat ini, Osman menimba pelbagai pengalaman asas yang perlu bagi seseorang dalam sesuatu pekerjaan. Mungkin kerana Osman diberi kepercayaan yang setara dengan pekerja tetap yang ada di syarikat itu. Tidak kurang juga dengan kerjasama & pertolongan daripada ketua dan rakan-rakan di jabatan. Hampir 6 bulan Osman bekerja di syarikat itu. Ada pekerja disitu menyatakan bahawa kelulusan Osman terlalu tinggi (over-qualified) untuk kekosongan yang ada (kekosongan untuk pembantu akaun). Sebenarnya dia telah lali dengan jawapan itu kerana jawapan sebegitulah yang sering didengar apabila menghadiri temu duga. Sekali lagi selepas tamat kontrak, Osman menjadi penganggur terhormat.

Osman tidak berputus asa. Dia sanggup turun naik pejabat menghadiri temu duga sama ada menerusi agensi pekerjaan, melayari laman web, menulis surat permohonan & bermacam-macam lagi. Dia masih lagi boleh bernafas kerana mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk masa-masa terdesak. Tetapi lambat-laun wang pasti berkurangan. Macam-macam yang perlu dibayar, itu belum termasuk kos minta kerja - duit setem, gambar, sampul surat, kertas A4 & fotokopi. Dia juga membayangkan harapan ibu bapa menghantar anak-anak ke peringkat yang tinggi dengan harapan selepas bergraduan kelak, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka atau paling tidak pun anak mereka dapat hidup berdikari. Walaupun keluarga tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan tapi dia pasti mereka tidak mahu melihatnya bertungkus-lumus untuk hidup.

5 cara pilih sahabat

Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW kepada anaknya).

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Ke-2, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ke-3, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu & dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui keburukan dirimu ia suka menutupinya.
Ke-4, pilihlah seorang sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran & kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu & meringankanmu serta menghiburkanmu.

Ke-5, sahabat yang jikalau engkau berkata, dia suka membenarkan ucapan & bukan selalu mempercayainya sahaja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya & jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat, pilihlah sahabat yang baik agar segala matlamat & hasrat dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia. Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara: "Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, hatimu takut & gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada dzat yang memilikimu."

11 Januari 2008

Waspada serangan 2 virus

Pakar komputer China telah memberi amaran kepada pengguna Internet kemunculan 2 varian baharu DQ (Worm.WhBoy.dq) & Qiuying B yang diubah suai daripada virus pemusnah 'Panda burning joss' & Qiuying, menurut agensi berita China, Xinhua. Virus DQ boleh menjangkiti komputer & merebak ke fail eksekutif dan laman web serta dapat menamatkan program pemantauan perisian antivirus yang dipasang di dalam komputer, Virus berkenaan juga mampu mengganggu Internet Explorer (IE) & secara automatik memindah turun (download) mutasi baharu bagi virus berkenaan. Sementara itu, virus Qiuying B yang bercirikan halimunan & mampu menutup atau memperlahankan operasi komputer. Ruang siber China sering kali diserang dengan virus jahat beberapa tahun lepas. Misalnya, virus Panda disenaraikan sebagai virus komputer terburuk oleh syarikat anti virus China, Rising.

Selangor bina 5,000 rumah berkelompok

Kerajaan Selangor akan membina 5,000 rumah berkelompok setahun mulai tahun ini bagi merealisasikan pelaksanaan Skim Perumahan Pasangan Muda di negeri ini. Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai badan pelaksana sudah mengenalpasti satu tapak di Seksyen 24 bagi melaksanakan projek itu. Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor menjelaskan rumah berkeluasan minimum 650 kaki persegi itu akan disewakan kepada pemohon berkelayakan bagi tempoh maksimum 30 tahun dengan kadar sewa tidak melebihi RM500 mengikut lokasi. Mereka yang berumur 18 - 35 tahun & belum memiliki rumah dengan jarak 50 kilometer dari projek berkenaan serta memperoleh pendapatan terkumpul RM1,200 - RM3,500 sebulan layak menyertai skim itu. Kepadatan penduduk di Selangor kini hampir 5 juta termasuk mereka yang berhijrah dari negeri lain & kira-kira 60% daripadanya adalah golongan muda yang berada pada peringkat mengukuhkan ekonomi keluarga masing-masing. Dalam hal ini, kerajaan negeri memperkenalkan skim ini bagi memastikan pasangan muda mampu memiliki rumah sendiri. Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri membina 304 rumah & membaik pulih 325 rumah tahun lepas dalam usaha membasmi kemiskinan di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor & Kuala Selangor.

09 Januari 2008

Elaun pelatih Giat Mara naik


Pelatih Giat Mara Malaysia (Giat Mara) akan menikmati kadar elaun bulanan baru sebanyak RM270 berbanding RM100 sebelum ini, bermula sesi pengajian Januari ini. Kenaikan itu berikutan pelatih Giat Mara setanding dengan institusi kemahiran di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun mereka hanya memenuhi syarat minimum iaitu tahu membaca & menulis.

Kenaikan kadar elaun itu adalah yang pertama sejak pusat latihan berkenaan dibuka pada 1986. Kelulusan untuk menaikkan elaun itu sudah jelas, tetapi masih menunggu surat rasmi daripada Majlis Mara untuk menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah menengah mengikuti kursus kemahiran. Mereka akan dilatih mengikut bidang kemahiran diminati seperti jahitan & sulaman, kimpalan & elektrikal dalam masa 6 bulan dan ditanggung sepenuhnya Mara serta diberikan elaun bulanan.

Graduan yang berminat menceburkan diri dalam bidang perniagaan selepas tamat pengajian tetap menerima elaun bulanan sehingga 6 bulan bagi memastikan mereka mampu menguruskan perniagaan dengan baik. Graduan berminat menjadi usahawan selepas tamat pengajian akan diberi sokongan padu & khidmat nasihat malah elaun bulanan akan dilanjutkan selama 6 bulan atau perniagaan mereka sudah mencapai keuntungan.

Kejayaan Giat Mara melahirkan lebih 200,000 graduan di seluruh negara membuktikan mereka yang tidak cemerlang dalam peperiksaan boleh berjaya dalam bidang kemahiran. Kerajaan membina 15 Giat Mara & dijangka siap pada Julai 2008 bagi menambahkan bilangan kepada 189 di seluruh Malaysia. Kerajaan menggalakkan pensyarah Giat Mara menjalani latihan secara intensif bagi melahirkan graduan berjaya dalam bidang perkhidmatan & pembuatan. Penyelarasan ini penting bagi memastikan pengajar & pelatih mendapat manfaat yang sama malah ibu bapa perlu membuka minda untuk menghantar anak mereka mengikuti kursus di Giat Mara.

07 Januari 2008

Pelajar dapat Gred E boleh masuk vokasional

Semua 559 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2007 yang memperoleh Gred E dalam semua mata pelajaran diminta tidak berputus asa, sebaliknya meningkatkan usaha & mengikuti mata pelajaran vokasional serta kemahiran di Tingkatan 4. Hampir separuh daripada semua sekolah menengah menawarkan sekurang-kurangnya satu daripada 22 mata pelajaran vokasional & kemahiran, yang boleh diikuti pelajar. Jangan berputus asa, sekali gagal tidak bererti gagal selama-lamanya. Mungkin ada yang tidak dapat menjawab soalah dengan baik kerana kurang sihat atau berdepan dengan masalah tertentu pada hari peperiksaan. Jadikan PMR sebagai peperiksaan yang memberi gambaran keupayaan. Jika gagal atau mendapat keputusan kurang baik, kena tingkatkan lagi usaha... itulah tujuan peperiksaan PMR. Sistem pendidikan negara menyediakan ruang untuk semua termasuk mereka yang gagal dalam PMR dengan menyediakan mata pelajaran vokasional. Sesiapa pun tidak diabaikan... semua ada tempat sesuai dengan tema Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, & Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco - PBB) iaitu pendidikan untuk semua. Antara mata pelajaran vokasional & kemahiran yang ditawarkan ialah bakeri, persolekan, hortikultur, gubahan bunga, & membaiki kenderaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...